Dr Mahathir, Presiden Moon adakan perbincangan di Putrajaya
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan perbincangan dengan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in, di Perdana Putra, di sini hari ini.
Presiden Moon tiba di sini untuk menghadiri perbincangan itu pada 2.30 petang dan beliau disambut Dr Mahathir serta Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa membabitkan kepentingan bersama.
Selepas berbincang, Dr Mahathir dan Presiden Moon dijadual menyaksikan majlis menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kerjasama perindustrian yang berkaitan dengan Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0), kerjasama dalam bidang pengangkutan dan pembangunan sebuah Bandar Pintar di Malaysia, di samping kerjasama dalam industri halal.
Presiden Moon tiba di sini semalam untuk melakukan lawatan negara tiga hari ke Malaysia.
Pagi ini, beliau diberi sambutan negara di Dataran Parlimen. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!