KKM perjelas isu terjemahan ‘Datuk’ tular kembali

Tangkap layar yang tersebar luas
Tangkap layar yang tersebar luas
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi penjelasan berhubung isu terjemahan gelaran 'Datuk' yang tular di media sosial baru-baru ini untuk menghentikan kekeliruan.

Menurut kenyataan KKM, isu terjemahan itu berlaku pada Disember 2020 tahun lalu dan tangkap layar tersebut kembali tular di media sosial.

"Sebaran tangkap layar itu tidak menggambarkan hantaran asal kerana poster asal adalah dalam bahasa Malaysia bukannya bahasa Inggeris.

"KKM mendapati paparan Facebook yang ditangkap layar dan disebar menerusi aplikasi WhatsApp adalah berpunca daripada pengguna yang telah mengaktifkan 'auto translate teks Facebook' pada telefon.

"Keadaan tersebut menyebabkan perkataan 'Datuk' diterjemah secara automatik kepada perkataan 'grandfather'," menurut kenyataan itu, pada Rabu.

Menurut kenyataan tersebut, paparan FB ditangkap layar dan disebar luas itu dikesan oleh KKM pada 10 Disember tahun lalu.

Tambah kenyataan itu, pihak pentadbiran Facebook KKM telah mengambil tindakan dengan menulis semula teks ucapan dalam bahasa Malaysia dan Inggeris pada hari sama berhubung ucapan tahniah kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) yang baru dilantik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!