Penerima PLKS Program Rehiring boleh perbaharui pas

Khairul Dzaimee Daud
Khairul Dzaimee Daud
A
A
A

SHAH ALAM - Buruh asing yang menerima Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) menerusi Program Rehiring yang dilaksanakan pada tahun 2016 boleh menyambung tempoh sah laku pas mereka bermula 20 Disember.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan untuk memastikan bekalan buruh bagi sektor 3D (dirty, difficult, dangerous) dalam negara tidak terputus.

Menurutnya, mengambil kira pelaksanaan Program Rehiring yang bermula pada tahun 2016, PLKS yang sah laku untuk tempoh lima tahun bagi program tersebut dijangka tamat secara berfasa mulai tahun 2021 sehingga 2024.

"Bagi mengelakkan para majikan terputus sumber tenaga kerja terutama dalam sektor pekerjaan 3D, kerajaan telah bersetuju tempoh penggajian pemegang PLKS Program Rehiring dilanjutkan setahun demi setahun sehingga maksimum lima tahun.

"Lanjutan PLKS ini hanya dibenarkan secara dalam talian melalui ePLKS atau MyEG dan pertimbangan pelanjutan PLKS tertakluk kepada prosedur penggajian pekerja asing yang dikuatkuasakan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Khairul Dzaimee berkata, hanya majikan atau wakil sah majikan dibenarkan untuk mengemukakan permohonan dan semua pihak wajib memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Antara syarat utama adalah pekerja dan majikan tidak melanggar apa-apa syarat pas yang dikeluarkan semasa penggajian di bawah Program Rehiring manakala pekerja yang telah disenarai hitam adalah tidak layak untuk memohon lanjutan.

"Pekerja tidak boleh bertukar majikan atau sektor, kecuali melalui kelulusan khas Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya semua majikan untuk mengambil peluang memperbaharui PLKS pekerja masing-masing menerusi program tersebut.

"Majikan boleh mendapatkan keterangan lanjut mengenai pelanjutan tempoh penggajian bagi pekerja PLKS di bawah Program Rehiring ini di laman web Imigresen di pautan www.imi.gov.my," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!