Peratusan ambil dos penggalak di Kelantan masih rendah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan menjelaskan hanya 90,316 atau 7.3 peratus daripada 1.2 juta populasi dewasa di negeri ini yang sudah lengkap pengambilan vaksin menerima dos penggalak.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, berdasarkan statistik tersebut peratusan pengambilan suntikan dos penggalak di negeri ini adalah sangat rendah.

Katanya, di daerah Kota Bharu setakat ini hanya 47,943 orang atau 12.19 peratus daripada 393,000 populasi dewasa telah menerima suntikan dos penggalak diikuti Tumpat (5,466 daripada 122,900 populasi) dan Pasir Mas (7,344 daripada 151,900 populasi).

"Kami berharap mana-mana individu yang telah layak mendapatkan dos penggalak supaya mendapatkan dos ketiga itu dengan segera.

“Selain aktiviti outreach yang kami jalankan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan dos penggalak ini, orang ramai juga boleh mendapatkannya di klinik-klinik kerajaan atau swasta dan hospital kerajaan kerana kami sudah menyediakan tempat," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Peringkat JKNK di Wisma Persekutuan di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, seramai 155,227 atau 73.71 peratus daripada 210,600 remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negeri ini sudah lengkap dua dos vaksin.

Beliau berkata, jumlah remaja yang sudah mendapatkan dos pertama pula adalah seramai 174,005 atau 84.62 peratus.

Tambah beliau, daerah Kota Bharu mencatatkan peratusan tertinggi bagi dua dos lengkap remaja iaitu seramai 44,247 orang diikuti Pasir Mas (17,524) dan Bachok (16,971).

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi daerah lain peratusan yang mendapatkan suntikan sama ada dos pertama atau kedua juga turut menunjukkan peningkatan sehingga 70 peratus berdasarkan populasi remaja di daerah berkenaan.

"Sebagai contoh, di Jeli, populasi remaja yang direkodkan adalah 5,700 dan yang sudah lengkap dua dos pula adalah 5,080 orang atau 89.12 peratus. Di Kuala Krai seramai 10,815 atau 73.57 peratus daripada 14,700 remaja sudah lengkap dua dos vaksin," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kes harian Covid-19 di negeri ini yang dilihat antara tertinggi di dalam negara, Dr Zaini berharap agar orang ramai terus mempertingkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Semalam sahaja Kelantan mencatatkan 428 kes harian Covid-19 iaitu ketiga tertinggi selepas Selangor (1,021) dan Johor (436)," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!