Manfaat peluang pasaran percepat pertumbuhan di dunia Islam
KUALA LUMPUR - Anjakan paradigma perlu dibuat dengan memanfaatkan peluang pasaran dengan inovasi baharu, memperbaharui model perniagaan dan teknologi disruptif sebagai pembawa perubahan berpotensi untuk mempercepat pertumbuhan semua sektor di dunia Islam, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, keperluan untuk beralih melangkaui rangka kerja tradisional dan kebijaksanaan konvensional di tengah-tengah cabaran, meneroka pendekatan inovatif dan memupuk idea baharu akan merangsang perubahan positif dalam dunia Islam dan di luar darinya.
“Kita mesti menerima perubahan disruptif sebagai pemangkin pertumbuhan untuk bersiap siaga mendepani landskap ekonomi dan perniagaan yang sentiasa berubah,” katanya dalam ucapan khas beliau pada Persidangan Meja Bulat Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) 2021 bertajuk ‘Revitalisation and Reform: Catalysing Growth’ (Penjanaan dan Pembaharuan: Memangkin Pertumbuhan) yang diadakan secara maya pada Rabu.
Muhyiddin berkata, kekuatan modal insan perlu dioptimumkan dengan memberi keutamaan memantapkan kemahiran tenaga kerja, terutamanya di bahagian pertumbuhan nilai tinggi seperti teknologi, perkhidmatan kewangan dan tenaga.
“Kita perlu memperkasa golongan muda untuk merintis bidang baharu menarik ini sebagai seorang Islam dan rakyat Malaysia úntuk menyertai ‘Metaverse’ (ruang realiti maya),” katanya.
Selain itu, bekas Perdana Menteri itu juga berkata, inisiatif menerusi pemerkasaan komuniti seperti perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) perlu sentiasa diberi peluang untuk menyesuaikan diri dan berkembang untuk membezakan perniagaan mereka.
“Sementara itu, memperkasakan peranan syarikat berkaitan kerajaan sebagai peneraju dalam penyepaduan serantau akan memperkukuh fokus dan mandat bagi memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi,” katanya.
Selain itu, Muhyiddin berkata, ekonomi Islam merupakan pemacu yang akan membolehkan rakyat melangkah kehadapan bersama-sama, terutamanya dalam landskap pasca Covid-19 yang baharu ini.
“Peluang besar wujud bagi dunia Islam, negara-negara di dunia Islam perlu berusaha untuk mencipta kelebihan kompetitif dan memaksimumkan peluang ini,” katanya.
Malaysia, sebagai contoh, katanya, kekal sebagai pemain utama di bawah Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) sejak dekad lepas, dipacu oleh ekosistem, kewangan Islam yang utuh dan inisiatif kreatif.
“Selain menjadi perintis dalam industri halal, Malaysia terus meneraju sebagai satu daripada penerbit sukuk terbesar di dunia, menyumbang 32 peratus daripada terbitan sukuk global pada 2020,” katanya.
Dalam usaha bergerak seiring dengan era digital, penyertaan usahawan Bumiputera dan PMKS Malaysia dalam bidang ekonomi digital akan membawa kepada lebih banyak penciptaan kejayaan dan penerokaan pasaran halal di dalam negara, di luar negara dan secara dalam talian, katanya.
Menurutnya, pemerkasaan ekonomi ummah penting bagi memastikan pengagihan yang adil dan saksama dalam semua kumpulan sasaran bagi menggerakkan Malaysia menjadi negara yang makmur dan inklusif sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Muhyiddin juga berkata, pelancaran lapan pakej rangsangan bernilai RM530 bilion semasa kepimpinan beliau sebagai perdana menteri telah membantu semua kumpulan sasaran dan menyediakan sokongan kepada perniagaan.
“Kesinambungan semua usaha dan program ini oleh kerajaan sekarang di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyaksikan agenda pemulihan Malaysia direalisasikan segera bagi manfaat semua,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!