Kedah lulus cuti peristiwa Thaipusam

Muhammad Sanusi (duduk, dua kiri) bersama Tuan Ibrahim (duduk tengah) ketika sidang media sempena Majlis Penyerahan Empangan Sabo kepada kontraktor di Titi Hayun Yan pada Rabu.
Muhammad Sanusi (duduk, dua kiri) bersama Tuan Ibrahim (duduk tengah) ketika sidang media sempena Majlis Penyerahan Empangan Sabo kepada kontraktor di Titi Hayun Yan pada Rabu.
A
A
A

YAN - Kerajaan Kedah meluluskan cuti peristiwa untuk perayaan Thaipusam bagi penganut Hindu yang bakal disambut pada 18 Januari depan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dipersetujui melalui Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada Rabu.

"Cuti peristiwa bukan diberikan secara automatik setiap tahun sebaliknya perlu dibincang dan diluluskan dalam mesyuarat Exco setiap kali tiba satu-satu peristiwa.

"Hari ini kita telah putuskan dalam mesyuarat Exco untuk meluluskan cuti peristiwa tersebut dan harapnya keputusan ini akan beri kegembiraan kepada penganut yang menyambut Thaipusam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir ke Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Empangan Sabo kepada kontraktor di Titi Hayun di sini pada Rabu.

Majlis penyerahan disempurnakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Muhammad Sanusi berkata, keputusan kerajaan negeri untuk mengumumkan cuti peristiwa tersebut harus dipatuhi semua pihak yang tertakluk dengan akta berkaitan.

"Mana-mana pihak yang terikat dengan Akta Cuti Peristiwa perlu patuh dengan keputusan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan tiada cuti peristiwa sempena Thaipusam 28 Januari tahun ini.

Pengumuman terbabit menjadi perdebatan selain menerima reaksi pelbagai pihak.

Muhammad Sanusi menegaskan ketika itu bahawa keputusan kerajaan negeri tersebut bukan bertujuan menafikan hak penganut Hindu sebaliknya telah 'dicutikan' sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!