Pelantikan duta khas baharu Asean ke Myanmar diperhalusi pada Januari

Saifuddin - Foto Bernama
Saifuddin - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Langkah Kemboja melantik Menteri Luarnya Prak Sokhonn sebagai duta khas baharu pengerusi ASEAN ke Myanmar bakal menjadi agenda utama semasa Pemukiman Menteri-Menteri Luar badan serantau itu bulan depan, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, pelantikan yang diumumkan Perdana Menteri Hun Sen hari ini itu akan dibincangkan secara konsensus bagi memastikan kesinambungan perkara-perkara berkaitan terutamanya pelaksanaan Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar, yang dicapai pemimpin ASEAN pada April.

“Saya rasa Kemboja baru sahaja buat pengumuman. Apa pun kita (ASEAN) sepakat dalam membuat keputusan. Saya fikir tidak akan ada sebarang bantahan.

“Memandangkan Kemboja bakal menjadi Pengerusi ASEAN mulai Januari dan Hun Sen melawat Myanmar dijadual pada 7 hingga 8 Jan, kami akan mengikuti perkembangan itu dan menunggu laporan beliau.

"Kami menantikan pemukiman pada Januari nanti untuk kami mengajukan persoalan dan mencari jalan mengenai bagaimana kami menangani isu Myanmar," kata Saifuddin kepada Bernama selepas bertemu pemuzik cacat pendengaran, Jeshurun ​​Vincent di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), pada Rabu.
Artikel Berkaitan:


Media antarabangsa melaporkan Hun Sen akan menamakan Prak Sokhonn menggantikan duta khas ketika ini, Menteri Luar II Brunei, Erywan Mohd Yusof.

Pada April lepas, Asean sepakat menerima pakai Konsensus Lima Perkara untuk menangani keadaan sosiopolitik yang semakin meruncing di Myanmar berikutan rampasan kuasa tentera yang mencetuskan beberapa konfrontasi antara orang awam dan pasukan keselamatan, menyebabkan lebih 1,000 orang terkorban. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!