Air mata lelaki iringi persaraan Aguero

Aguero (kiri) ditenangkan Presiden Barcelona, Joan Laporta semasa sidang media di Camp Nou. -Foto: AFP
Aguero (kiri) ditenangkan Presiden Barcelona, Joan Laporta semasa sidang media di Camp Nou. -Foto: AFP
A
A
A

PENYERANG Barcelona dan Argentina, Sergio Aguero mengumumkan persaraannya daripada bola sepak pada usia 33 tahun selepas disahkan menghidap masalah jantung, yang menutup tirai kerjaya selama 18 tahun dengan menjaringkan lebih 400 gol.

“Sidang akhbar ini adalah untuk memaklumkan bahawa saya telah memutuskan untuk berhenti bermain bola sepak. Ia adalah saat yang sangat sukar tetapi saya tenang dengan keputusan yang saya buat.

“Ia adalah keputusan yang saya buat untuk memelihara kesihatan saya. Itulah yang doktor katakan kepada saya, bahawa adalah lebih baik untuk berhenti bermain. Saya membuat keputusan itu sekitar 10 hari lalu.

“Saya amat berbangga dengan kerjaya saya, ia adalah impian yang menjadi kenyataan. Saya hanya mahu menjadi pemain profesional dan tidak pernah terfikir bahawa saya akan bermain di Eropah,” luah Aguero dalam nada sebak di Camp Nou pada Rabu.

Aguero sebelum ini dibawa ke hospital pada 30 Oktober lalu selepas mengalami sakit dada dan kesukaran bernafas ketika Barcelona seri 1-1 dengan Alaves.

Pengurusan Barcelona kemudian mengumumkan beberapa hari kemudian bahawa dia berehat selama sekurang-kurangnya tiga bulan berikutan analisis jantung.

Pemain Argentina itu menyertai Barca secara percuma pada penghujung musim lalu, tetapi hanya membuat lima penampilan dalam semua pertandingan berikutan kecederaan betis dan masalah jantungnya, menjaringkan satu gol ketika kelabnya tewas 2-1 di tempat sendiri kepada Real Madrid.

Aguero berpindah ke Sepanyol selepas sedekad bersama juara Liga Perdana, Manchester City, yang mana dia menjaringkan 260 gol dalam 390 penampilan untuk menjadi penjaring terbanyak kelab itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!