Netizen kecam pelaksanaan semula caj RM1 di ATM
SHAH ALAM - Rata-rata netizen di media sosial seperti Facebook mengecam pelaksanaan semula caj transaksi RM1 ke atas pengeluaran wang tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.
Ia susulan notis yang dikeluarkan oleh beberapa buah bank tempatan mengenai perkara tersebut menerusi platform media sosial masing-masing pada Rabu.
Ini termasuklah Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank Bhd dan RHB Bank Bhd.
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, rata-rata daripada mereka mendakwa pengumuman yang dilakukan itu dibuat secara mendadak sedangkan negara masih lagi dibelenggu pandemik Covid-19.
Justeru, mereka menggesa pihak bank meneliti semula keputusan berkenaan, memandangkan tiada pengumuman rasmi daripada kerajaan ketika ini mengenai caj transaksi RM1 ke atas pengeluaran wang tunai antara bank di ATM.
Pada masa sama, ahli Parlimen pembangkang turut menggesa kerajaan khususnya Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk segera masuk campur dan mengarahkan bank-bank membatalkan caj RM1 tersebut.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan mengenakan semula caj dilihat sebagai belum lagi sesuai, malah berpandangan ia merupakan langkah yang salah dan tidak disenangi rakyat.
Sebelum ini, para pengguna boleh menikmati kemudahan pengecualian caj RM1 yang dikenakan ke atas pemegang kad bagi mana-mana ATM sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula tahun lalu.
Perkara itu diumumkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan Keselamatan.
Ismail Sabri menjelaskan, langkah berkenaan dibuat bagi memastikan orang ramai tidak berpusu-pusu membuat pengeluaran menerusi kaunter juruwang.
“Justeru, kerajaan memutuskan semua institusi perbankan dan ‘paynet’ akan mengecualikan caj pengeluaran wang di semua rangkaian Malaysia Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) berkuat kuasa 6 April hingga tamat tempoh PKP.
“Ini akan memberi ruang dan kemudahan untuk rakyat menggunakan ATM yang disediakan tanpa mereka perlu berpusu-pusu ke bank semata-mata ingin mengeluarkan wang,” katanya.
Sebelum ini, mana-mana pengguna yang ingin mengeluarkan wang di ATM selain bank dilanggan mereka akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM1.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!