Pembangkang isytihar harta, munasabah
KUALA LUMPUR - Gesaan kepada pemimpin pembangkang supaya membuat pengisytiharan harta secara terbuka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan adalah munasabah.
Langkah itu dilihat penting dalam konteks ‘public perception’ sebagai bukti ketelusan, integriti dan kesediaan seseorang pemimpin atau wakil rakyat daripada kerajaan atau pembangkang untuk memikul amanah yang diberi.
Menegaskan demikian, penganalisis politik dan profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr Zaid Ahmad berkata ini barat langkah mudah untuk menzahirkan komitmen seseorang pemimpin.
Walaupun boleh diwajibkan setiap ahli Parlimen berbuat demikian (isytihar harta secara terbuka), namun sebenarnya ia tindakan yang bersifat sukarela dan lebih kepada sikap bertanggungjawab pemimpin itu sendiri, katanya.
"Sebagai contoh, sekiranya, ada pemimpin yang enggan mengisytiharkan hartanya pasti akan menimbulkan persepsi dan persoalan dalam kalangan rakyat seperti ada perkara yang cuba diselindungkan oleh pemimpin itu,” katanya.
"Orang (rakyat) mahu melihat ketelusan dan keikhlasan seorang pemimpin itu dan ia juga menunjukkan kesediaannya untuk dikritik dan dinilai oleh rakyat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Pada sidang Parlimen semalam, Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih dan perbahasan Titah Diraja sebagai pencadang, menggesa tindakan pengisytiharan harta secara terbuka itu turut dilakukan oleh pemimpin pembangkang khususnya daripada UMNO dan Pas bagi menjamin integriti dan akauntabiliti seseorang pemimpin itu.
Sebelum ini, kerajaan PH mewajibkan semua menteri Kabinet dan ahli Parlimen termasuk isteri dan anak mereka untuk membuat perisytiharan harta selepas membentuk kerajaan tahun lalu.
Tindakan itu, selaras dengan janji dalam manifesto PH pada PRU14 lepas yang berjanji untuk mewajibkan kesemua ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara dan pegawai kerajaan berpangkat Jusa C ke atas membuat pengisytiharan aset dan pendapatan.
Mengulas lanjut, Zaid berkata langkah pengisytiharan harta secara terbuka itu juga boleh digunapakai kepada ADUN.
"ADUN pun wajar berbuat demikian (isytihar harta secara terbuka). Di mata rakyat pemimpin masyarakat harus ‘clean’ dan dilihat ‘clean’, kerana mereka juga memikul amanah yang sama,” katanya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!