Pembangunan semua kaum
Manfaat untuk aktiviti komuniti dan sosioekonomi
Bajet 2022 ternyata bersifat menyeluruh. Selain daripada program-program nasional untuk manfaat semua golongan rakyat, pembangunan untuk semua kaum turut diberi perhatian.
Sebanyak RM200 juta disediakan khusus untuk kaum Cina. Peruntukan ini antaranya untuk melaksanakan program baik pulih rumah dan kemajuan kampung baru, akses pembiayaan bagi penduduk kampung baru dan pembiayaan untuk usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Bagi kaum India pula, sebanyak RM145 juta disediakan antaranya untuk melaksanakan program memperkasa sosioekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh Tekun.
Dalam menggalakkan anak-anak Sabah dan Sarawak mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan, sebanyak RM10 juta disediakan untuk tujuan ini.
Komuniti orang asli tidak dipinggirkan apabila menerima peruntukan sebanyak RM274 juta bagi melaksanakan Program Peningkatan Taraf Hidup Orang Asli seperti pemberian subsidi dan bantuan persekolahan serta bantuan kebajikan untuk manfaat hampir 200,000 orang asli.
Pada tahun 2022, kerajaan akan menaikkan kadar wang saku murid sekolah menengah kepada RM4 sehari.
Bagi mendokong agenda perpaduan dan budaya sukarela di peringkat komuniti, kerajaan menyediakan geran RM6,000 untuk setiap Kawasan Rukun Tetangga (atau KRT). Lebih 8,000 KRT akan menerima manfaat daripada geran ini dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.
Kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta bagi kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Peruntukan ini turut merangkumi pelaksanaan aktiviti-aktiviti komuniti dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat dan penduduk setempat.
Kerajaan ini akan terus giat melaksanakan program-program pembangunan sosioekonomi dan memelihara kebajikan komuniti tumpuan, terutamanya melibatkan warga emas, kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan lain-lain.
• Program Bantuan Warga Emas (RM635 juta)
• Keselamatan Kanak-Kanak
• Kesihatan Kanak-Kanak (RM24 j)
• Kebajikan OKU
• Latihan OKU
• Akses Media OKU
• Lesen cukai jalan kenderaan persendirian OKU dibiayai penuh oleh Kerajaan
• Pekerjaan OKU
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!