Penolong pengurus ladang didakwa hantar gambar lucah

Penolong pengurus ladang terbabit hadir ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Khamis.
Penolong pengurus ladang terbabit hadir ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang penolong pengurus ladang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tuduhan menghantar gambar berunsur lucah kepada kenalannya melalui WhatsApp pada tahun 2019.

Mohd Afif Ramlan, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Lelaki itu didakwa dengan secara sedar memuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah sifatnya menggunakan WhatsApp dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh melakukan perbuatan itu kira-kira jam 11.59 malam di sebuah rumah di Taman Uda, Jalan Sultanah di sini pada 19 Jun 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun, atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd Zameri, manakala tertuduh diwakili peguam, Dr Mohamad Sofee Razak daripada Mohamad Sofee Razak & Co.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Januari depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!