Bot karam: Tujuh lagi mayat warga Indonesia ditemui

Mayat mangsa bot karam yang dibawa naik selepas ditemukan seawal jam 6.45 pagi pada Khamis.
Mayat mangsa bot karam yang dibawa naik selepas ditemukan seawal jam 6.45 pagi pada Khamis.
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menemui tujuh lagi mayat mangsa lemas dalam operasi carilamat insiden bot karam melibatkan warga Indonesia di Tanjung Balau di sini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Negeri Johor, Kepten Maritim, Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, operasi bagi hari kedua selepas kejadian pada Rabu itu menjadikan jumlah mangsa maut kini 18 orang dengan 28 lagi masih dilaporkan hilang.

Katanya, setakat ini jantina tujuh mangsa maut yang ditemui itu adalah membabitkan lima lelaki dan dua wanita dewasa.

“Mayat pertama untuk operasi carilamat hari kedua ini ditemui kira-kira jam 6.45 pagi dengan jarak sejauh 10 meter dari pangkalan hadapan operasi carilamat di pesisiran Tanjung Balau, di sini.

“Op carilamat ini melibatkan keluasan sejauh 147 batu nautika di sekitar perairan Tanjung Balau dengan kekuatan aset Kapal Maritim (KM) TEGAS dan bot PETIR 50 Maritim Malaysia serta aset-aset daripada agensi lain.

“Pencarian sektor udara pula adalah seluas 76.5 batu nautika dengan menggunakan sebuah pesawat udara AW139 Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Bot karam: Lima mayat ditemukan pagi ini

Sebelum ini, media melaporkan sebuah bot pancung yang membawa 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Lombok, Indonesia karam akibat cuaca buruk pada jam 4.30 pagi, pada Rabu.

Pada hari pertama operasi carilamat yang dilakukan menemui seramai 11 mangsa maut selain 14 daripadanya ditemui masih hidup.

Simon Templer berkata, operasi carilamat juga akan diteruskan dengan membabitkan seramai 133 petugas terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

“Op carilamat akan diteruskan, untuk hari ini (Khamis) keadaan cuaca diramalkan hujan lebat beserta ribut petir dengan keadaan laut yang bergelora.

“Kita juga memohon dan sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim di kawasan ini untuk terus melaporkan sebarang makluman atau berlakunya kecemasan di laut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!