Upah RM300 hantar dadah, 'runner' ditangkap
PASIR MAS - Seorang mekanik motosikal yang bertindak sebagai penghantar dadah dengan mengambil upah sebanyak RM300 diberkas polis dalam serbuan di Taman Rantau Mas, Rantau Panjang di sini pada Rabu.
Penahanan lelaki berusia 30 tahun dalam serbuan kira-kira jam 5.45 petang itu membawa kepada rampasan dadah berjumlah RM116,000 membabitkan syabu seberat 1,047 gram dan 8,000 biji pil yaba.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, sebelum serbuan dijalankan, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) membuat intipan di lokasi selama kira-kira lima minit.
"Semasa intipan dibuat, seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z telah berhenti di lokasi tersebut dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, pegawai dan anggota yang bertugas terus menghampiri suspek dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
"Menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri dan berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan," ujarnya.
Mohd Nasaruddin berkata, pemeriksaan ke atas motosikal yang turut disaksikan suspek telah menjumpai satu beg galas di dalam raga.
"Pemeriksaan lanjut diteruskan dan kita menjumpai satu bungkusan mengandungi 1,047 gram syabu dan 8000 biji pil yaba. Kita turut menemui wang tunai berjumlah RM7,925.
"Suspek bagaimanapun tidak mengaku dadah yang dijumpai itu miliknya tetapi hanya berperanan sebagai orang yang menghantar bahan terlarang itu daripada seorang lelaki dikenali sebagai Faris atau Abe.
"Suspek mendapat upah sebanyak RM300 setiap kali penghantaran dibuat," jelas beliau.
Susulan rampasan pertama itu, beliau berkata, satu serbuan telah dilakukan di sebuah kedai menjual bateri kereta di Banggol Kulim di sini pada jam 6 petang.
"Dalam serbuan itu, polis telah menahan suspek yang dikenali sebagai Faris berusia 30 tahun bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut menahan dua lagi suspek dalam serbuan tersebut.
"Pemeriksaan ke atas tubuh badan Faris menjumpai dua biji pil epam dalam beg duitnya. Pemeriksaan ke atas dua lagi suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah.
"Ketiga-tiga suspek bagaimanapun menafikan mereka mempunyai hubung kait dengan rampasan barang kes di Taman Rantau Mas," katanya.
Beliau sehubungan itu berkata, siasatan lanjut masih dilakukan oleh pihaknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!