Sindiket edar dadah di Johor Bahru tumpas
JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di bandar raya ini dengan penahanan empat individu menerusi satu operasi khas pada 7 Disember lalu.
Ketuanya, Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya berkata, kesemua suspek itu ditahan menerusi satu serbuan di sebuah rumah berpagar dan ada pengawal di bandar raya ini kira-kira jam 5.30 petang.
Katanya, empat suspek ditahan itu adalah terdiri daripada dua lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia dalam lingkungan antara 26 hingga 31 tahun.
“Hasil siasatan kita percaya modus operandi yang digunakan suspek ini adalah dengan menyewa premis berpagar dan ada pengawal untuk dijadikan pusat penyimpanan dan pembungkusan dadah.
“Hasil pemeriksaan di rumah ini, kita juga menemui dan merampas sejumlah dadah berupa serbuk ecstacy, ketamin, pil eramin 5, cecair ecstacy dan ganja yang dianggarkan bernilai RM 353,250,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Afzanizam berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan juga telah beroperasi sejak Julai lalu dan disyaki menyediakan bekalan untuk 37,694 penagih di sekitar bandar raya ini.
“Ujian air kencing dijalankan turut mendapati kesemua suspek ini positif dadah jenis methamphetemine dan ketamin. Namun semakan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Kesemua mereka kini direman hingga 18 Disember untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!