Perak peruntuk RM150,000 tingkat sumber ikan

Razman ketika sesi soalan lisan dalam Sidang DUN Perak di Ipoh pada Khamis. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
Razman ketika sesi soalan lisan dalam Sidang DUN Perak di Ipoh pada Khamis. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan habitat hidupan laut di perairan negeri tidak berkurangan, sekali gus mengekalkan Perak sebagai pengeluar ikan utama dalam negara.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, program kesedaran diterapkan dalam kalangan nelayan berkaitan penjagaan dan pengurusan sumber perikanan bagi menjaga ekosistem setempat.

"Mewujudkan industri hiliran atau lain-lain aktiviti tambah nilai berasaskan ikan dan hasil laut penting di setiap komuniti nelayan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

"Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM150,000 setiap tahun melalui Jabatan Perikanan negeri untuk program pelepasan benih ikan di perairan umum bagi meningkatkan sumber ikan. Sebanyak dua juta benih ikan dan udang akan dilepaskan pada tahun hadapan," katanya ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Jamilah Zakaria (BN-Trong) berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Razman berkata, penggunaan peralatan haram seperti bubu naga dan pukat rawa sorong perlu dibanteras.

"Pencerobohan oleh nelayan yang tidak berlesen perlu dicegah melalui penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Sungai 1992.

"Kajian 'Carrying Capacity' dijalankan di setiap perairan untuk menentukan stok sumber perikanan berbanding nisbah bilangan nelayan bagi mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan dengan mengehadkan bilangan nelayan di setiap tempat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Jabatan Perikanan telah membuat perubahan dasar dalam reka bentuk dan pembinaan tukun tiruan.

"Dasar tersebut lebih menumpukan kepada pembinaan tukun tiruan bersaiz besar, berat dan kuat dengan menggunakan bahan tahan lama seperti konkrit atau besi.

"Bagi memastikan usaha ini berjaya, kerajaan negeri bersama pihak penyelidik daripada Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) dan Jabatan Perikanan Malaysia Kuala Terengganu menjalankan kajian menilai kesesuaian lokasi mengikut kedalaman air dan cadangan reka bentuk mengikut jenis dasar laut," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!