Waytha Moorthy fail saman fitnah terhadap Azwanddin
KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) P. Waytha Moorthy memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah berhubung ucapan Azwanddin dalam satu perhimpunan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni Klang, Disember tahun lepas.
Waytha Moorthy selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Februari lepas, melalui Tetuan Azri Lee Swee Seng & Co, dengan menamakan Azwanddin sebagai defendan tunggal.
Peguam Annou Xavier yang mewakili Waytha Moorty berkata mahkamah memerintahkan pihak defendan untuk memasukkan penyataan pembelaan pada 26 Mac ini dan menetapkan 16 April untuk pengurusan kes berkenaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nurul Ain Hamzah, di sini hari ini. Azwanddin di wakili peguam Sarah Abishegam.
Dalam penyataan tuntutannya Waytha Moorthy, 53, mendakwa Azwanddin, 46, telah berucap pada perhimpunan anjuran Geras itu pada 25 Disember 2018 dan menerbitkan semula ucapannya di media cetak dan internet di dalam dan luar negara yang telah disalin semula secara penuh.
Beliau mendakwa ucapan memfitnah tersebut telah dimuat turun ke laman Facebook defendan dan mendapat 187,912 paparan, 4,705 penyukaan, 943 kongsian dan 362 komen setakat 8 Februari 2019.
Plaintif mendakwa kenyataan fitnah tersebut adalah tidak benar, menghina, berniat jahat, tidak wajar, mala fide, tanpa apa-apa kebenaran, melulu, sengaja dan 'dirancang terlebih dahulu' yang menyebabkan kecederaan dan memudaratkannya.
Selain itu, plaintif mendakwa beliau kehilangan reputasi yang teruk, kehilangan nama baik, berada dalam keadaan tertekan kerana ucapan defendan itu yang menurunkan reputasi serta merendahkannya dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras, jemaah menteri dan ahli-ahli kenamaan.
Kenyataan itu juga telah menyebabkan plaintif rasa malu dalam kapasiti peribadinya sebagai senator dan sebagai Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.
Plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan secara sendiri, atau ejennya sama ada melalui dirinya sendiri dan/atau JMM daripada mengucapkan, menerbitkan dan/atau menerbitkan semula dan/atau menyebabkan penerbitan ucapan memfitnah tersebut di dalam mana-mana media, secara bercetak, atas talian atau sebaliknya.
Beliau juga memohon gantirugi am, teladan, terlampau, kos dan relif-relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!