Warga emas, penerima Sinovac perlu dapat dos penggalak selewatnya Februari
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Penerima vaksin Covid-19 berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin dan penerima vaksin Sinavoc berusia 18 tahun ke atas perlu mendapatkan dos penggalak selewat-lewatnya Februari tahun depan bagi mengekalkan status lengkap vaksin mereka.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan tersebut telah disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 - Booster (CITF-B) pada 8 Disember lepas.
“Sekiranya tidak berbuat demikian, status anda akan berwarna putih dan tidak divaksin sepenuhnya di MySejahtera,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini pada Khamis.
Beliau menjelaskan, individu tersebut juga tidak layak untuk menerima kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19.
Sementara itu, Khairy berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega akan diaktifkan semula bagi mempercepatkan pemberian dos penggalak.
Khairy berkata, berikutan pengesanan kes kedua varian Omicron di negara ini, prosedur operasi standard (SOP) tambahan telah digariskan bagi mengekang penularan varian membimbangkan itu.
SOP tersebut menyatakan pengembara yang kembali dari United Kingdom mesti melakukan ujian pengesanan kendiri setiap hari sepanjang menjalani tempoh kuarantin dan melaporkan keputusan ujian tersebut dalam aplikasi MySejahtera (tempoh kuarantin adalah tujuh hari bagi yang telah lengkap vaksinasi dan 10 hari bagi yang tidak lengkap vaksinasi).
Selain itu, katanya, lebih banyak negara berisiko tinggi yang akan diumumkan dan dimasukkan ke dalam senarai negara berisiko tinggi, pengembara yang tiba dari negara-negara ini akan dipakaikan gelang pengawasan digital sepanjang tempoh kuarantin.
Khairy berkata, terkini Nigeria disenaraikan di dalam negara berisiko tinggi menjadikan terdapat sembilan negara disenaraikan sebagai berisiko tinggi.
Sebelum ini, KKM menyenaraikan lapan lagi negara berisiko tinggi iaitu Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, India dan Kanada.
Lapan negara dikenakan sekatan iaitu Afrika Selatan, Botswana, Mozambique, Namibia, Malawi, Zimbabwe, Lesotho dan Eswatini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!