70 peratus kes cerai di NS punca suami cuai beri nafkah
KUALA PILAH- Sebanyak 70 peratus kes perceraian di Negeri Sembilan berpunca daripada kegagalan atau kecuaian suami memberikan nafkah kepada isteri.
Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS), Datuk Abas Nordin berkata, perkara itu berlaku akibat pelbagai faktor namun kegagalan suami menyempurnakan tanggung jawab memberikan nafkah menjadi faktor utamanya.
"Ini terbukti melalui statistik pendaftaran kes perceraian di Negeri Sembilan secara puratanya setiap tahun tidak kurang daripada 2,600 kes perceraian bagi tempoh antara 2016 hingga 2021.
"Tidak semua perkahwinan yang berjaya, ada yang dilanda badai dan berakhir dengan perceraian," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Karnival Literasi Undang-undang Syariah 2021 di Perkarangan Balai Undang Luak Johol pada Khamis.
Hadir sama Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah.
Dalam pada itu, Abas berkata, trend ini perlu dibendung agar masalah rumah tangga dapat diatasi seterusnya membantu mewujudkan masyarakat sejahtera dan negara yang makmur, aman dan harmoni.
Beliau berkata, faktor kewangan, masalah pendapatan suami itu sendiri dan perselisihan rumah tangga berkaitan nafkah menjadi punca suami tidak memberikan nafkah kepada isteri.
"Kesungguhan suami itu perlu walaupun diberhentikan kerja atau cuti tanpa gaji dengan mencari pendapatan lain. Sebagai contoh ada suami yang bekerja jurutera tetapi melakukan kerja menjual ikan untuk tambahan pendapatan. Ini menunjukkan kesungguhan suami itu untuk mencari alternatif lain dan berusaha mencari rezeki," jelasnya.
Mengulas mengenai program berkenaan, Abas berkata, program seperti ini bertujuan memberi maklumat dan kesedaran kepada orang ramai supaya celik undang- undang syariah, khususnya mengenai kepentingan dan tanggungjawab terhadap pemberian nafkah dan kesannya.
"Secara tidak langsung program seumpama ini juga dapat membantu memberikan kefahaman kepada orang ramai (khususnya golongan wanita) yang tidak faham menggunakan undang-undang syariah dalam menyelesaikan masalah rumah tangga," ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, JKSNS dalam usaha untuk menubuhkan Mahkamah Utama serta Mahkamah Khas Hadhanah dan Nafkah Anak.
"Ia merupakan salah satu langkah bagi meningkatkan hierarki mahkamah syariah secara tidak langsung kes-kes hadhanah dan nafkah akan dapat diselesaikan dengan segera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!