PRU15: UMNO Sabah akur keputusan kepimpinan tertinggi parti

Bung Moktar ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, di Dewan Sri Kinabatangan, Sembulan, Kota Kinabalu pada Khamis.
Bung Moktar ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, di Dewan Sri Kinabatangan, Sembulan, Kota Kinabalu pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah akur terhadap sebarang keputusan kepimpinan parti itu sama ada mahu melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan segera atau sebaliknya.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya percaya dengan keputusan kepimpinan UMNO kerana mereka yang menentukannya berhubung PRU15.

"Kita meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) kita. Kita akan akur apa juga keputusan sama ada mahu PRU cepat atau lambat.

"Sebab yang menentukannya adalah pimpinan, jadi kita tidak akan mendahuluinya. Kita akan memperkuatkan jentera parti untuk berdepan dengan PRU akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, di Dewan Sri Kinabatangan, Sembulan di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika ada perbincangan mengenai PRU15 dalam mesyuarat UMNO Sabah yang diadakan pada Rabu.

Diminta mengulas berhubung dakwaan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pemimpin UMNO kini diterajui penyangak dan penyamun, Bung Moktar berkata tuduhan itu bukan perkara baharu.

"UMNO ini sebuah parti, saya rasa dia menyesal keluar daripada UMNO, mahu balik dia malu sendiri.

"Tidak apalah, apa yang Tun Mahathir cakap biar masa yang menentukan. Saya yakin dan percaya rakyat tahu menilai mana parti yang boleh memberi kemakmuran kepada rakyat dan yang mana tidak.

Artikel Berkaitan:

"Tun sudah kembali memerintah dahulu tetapi kecuaian dia, dia berhenti dan akhirnya hilang kuasa. Sekarang mahu kuasa lagi," ujarnya.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyarankan supaya bekas Perdana Menteri itu menggunakan sisa hidupnya untuk merehatkan minda dan fizikal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!