VTA bertaraf antarabangsa setiap kenderaan sebelum dipasarkan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Semua jenis kenderaan wajib melepasi prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengikut standard antarabangsa.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, setiap model baharu perlu melalui proses penilaian, pemeriksaan dan pengesahan spesifikasi teknikal sejajar dengan rangka kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) di bawah World Forum Harmonization of Vehicle Regulation (WP29).

Menurutnya, bahagian kejuruteraan automotif JPJ bertanggungjawab untuk memastikan setiap kenderaan mempunyai suatu pensijilan yang dikeluarkan di bawah prosedur VTA, sebelum kenderaan tersebut layak untuk didaftarkan dan digunakan di dalam negara.

"Dasar berkaitan prosedur VTA yang dikuatkuasakan oleh pihak JPJ ini adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 66(1)(pp) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Malaysia merupakan salah satu daripada 63 buah negara penjanji kepada suatu perjanjian multilateral iaitu Perjanjian 1958 di bawah rangka kerja WP29," menurut kenyataan tersebut pada Khamis.

JPJ dalam kenyataan tersebut berkata, menerusi perjanjian berkenaan, satu peraturan teknikal kenderaan yang dikenali sebagai Peraturan UN telah dibangunkan oleh pakar antarabangsa melalui kerangka prosedur VTA setiap negara ahli.

Sehubungan itu, JPJ telah menetapkan Peraturan UN sebagai penanda aras untuk prosedur VTA di Malaysia bertujuan untuk mengawal standard keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar seiring dengan kemajuan teknologi.

"Pengawalseliaan yang berterusan terhadap spesifikasi teknikal kenderaan ini boleh mengurangkan keraguan dan kegusaran di kalangan pengguna berkaitan tahap keselamatan sesebuah kenderaan motor.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan pula, pengawalseliaan tersebut dijalankan oleh pegawai kejuruteraan automotif JPJ yang berpengalaman dan diiktiraf sebagai jurutera professional, teknologis professional, dan juruteknik professional," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!