Hampir semua sungai di Sabah tercemar
KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan supaya satu akta digubal untuk melindungi sungai-sungai di negeri ini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, banyak sungai di negeri ini sudah dicemari dengan pelbagai aktiviti pencemaran namun tiada undang-undang yang dapat mengheret penceroboh sungai berkenaan.
"Masalah pencemaran air di negeri ini berpunca daripada sungai yang telah dicemari. Disebabkan kita tidak ada undang-undang khusus maka kita tidak boleh mengheret penceroboh termasuk syarikat-syarikat besar yang menceroboh tebing sungai dengan tanaman kelapa sawit.
"Seharusnya tebing-tebing sungai ini tidak boleh diganggu atau ditanam apa juga tanaman kerana ia akan menyebabkan sungai mudah tercemar, namun kerana tiada akta, maka hampir seluruh sungai di Sabah ini sudah dicemari.
"Jadi untuk memulihkan sungai yang tercemar kembali jernih memang sukar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, di Dewan Sri Kinabatangan, Sembulan di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, kerajaan Persekutuan telah menggazetkan sungai sebagai kawasan yang tidak boleh diceroboh dan penceroboh boleh didakwa serta denda di mahkamah.
"Ini penting. Saya telah menyahut permakluman ini dan saya akan bawa enakmen ini ke Sabah untuk kita 'endorse' bersama-sama untuk melihat sungai kita di Sabah.
"Kita akan bincang dulu di peringkat kementerian dan pegawai, seterusnya di kabinet serta Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.
Beliau turut menyarankan supaya diwujudkan "ranger' sungai untuk menjaga tebing sungai supaya tidak dicemari.
"Kalau kita lihat di Eropah, mereka ada 'ranger' sungai untuk menjaga keharmonian sungai tetapi di Malaysia kita belum ada 'ranger' jadi sewenang-wenangnya orang melakukan pencemaran di sungai.
"Jadi kalau ada 'ranger' sungai, kita latih sekurang-kurangnya setiap tebing sungai ada yang memerhati dan membuat laporan. Tetapi sebab kita tidak ada akta-akta yang seumpama ini maka kita tidak boleh berbuat apa-apa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!