Transaksi tol guna RFID bermula 15 Januari depan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari depan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan memaklumkan pelaksanaan itu akan menjadikan lorong RFID tersedia di seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di pantai barat Semenanjung selaras dengan kehendak dan keperluan pengguna lebuh raya.

“Kutipan tol menggunakan kad Touch 'n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKR, transaksi tol menggunakan RFID adalah langkah kementerian itu untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol dan pelaksanaan tersebut selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar yang termasuk Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong.

KKR sehubungan itu mengajak pengguna lebuh raya untuk beralih kepada RFID dan mendapatkan tag RFID secara dalam talian menerusi aplikasi Touch 'n Go eWallet, portal Touch 'n Go, ejen pemasaran yang dilantik atau mana-mana 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya untuk menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh sekali gus membantu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai, menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!