Rakaman percakapan mendiang Swee Keng diterima sebagai keterangan

Guan Eng hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis bagi prosiding sambung bicara terhadap pertuduhan rasuah yang dihadapinya. - Foto Bernama
Guan Eng hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis bagi prosiding sambung bicara terhadap pertuduhan rasuah yang dihadapinya. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis membenarkan rakaman percakapan pengasas dan Pengerusi Eksekutif Ewein Bhd, Datuk Ewe Swee Keng yang maut selepas dilaporkan terjatuh dari sebuah kondominium mewah di Pulau Pinang, dua bulan lepas, diterima masuk sebagai keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin agar rakaman percakapan mendiang Swee Keng, 53, ditandakan sebagai eksibit dan digunakan pada perbicaraan kes berkaitan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama yang melibatkan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

“Mahkamah berpuas hati bahawa kenyataan-kenyataan itu telah diberikan oleh mediang Swee Keng sendiri kepada pegawai perakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa di dalam siasatan menurut Seksyen 30 Akta SPRM 2009, khususnya subseksyen 38 akta sama.

“Maka, sebarang pertikaian tentang ketidakpatuhan terhadap subseksyen tersebut ditolak. Sehubungan itu, mahkamah membenarkan rakaman percakapan Swee Keng diterima masuk sebagai eksibit dalam kes ini,” kata hakim itu.

Mendiang Swee Keng yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15 meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh dari sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5 Oktober lepas.

Pada prosiding sebelum ini, pasukan pembelaan yang diwakili peguam Gobind Singh Deo membantah penerimaan rakaman kenyataan itu yang disifatkan sebagai rekaan.

Pada prosiding Khamis, mahkamah juga mendengar keterangan bekas Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Mokhtar Mohd Jait, 64, yang mengesahkan projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu ditawarkan secara tender terbuka kepada Consortium Zenith Bejing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG).

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata, projek itu diberikan kepada CZBUCG melalui proses pembidaan menurut terma dan peraturan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

CZBUCG telah dilantik bagi menjalankan projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu, kerana syarikat berkenaan mendapat 'markah tertinggi' bagi keseluruhan penilaian teknikal dan kewangan.

Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!