PH Sarawak jangka PSB sertai GPS lepas PRN12
KUCHING - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen menjangkakan Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan menyertai semula Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) nanti.
Dakwanya, PSB hanya berselindung di sebalik motif dan agenda yang kononnya hanya mahu berkerja sendirian, sedangkan mereka sebenarnya merancang bergabung semula dengan parti dominan Sarawak itu.
“Ada kemungkinan PSB mengambil langkah sebegitu adalah untuk menggantikan beberapa parti yang ‘tidak sebulu’ dengan PSB atau tidak berpuas hati dengan GPS.
“Trend parti tempatan menyertai kerajaan yang memerintah pernah berlaku sebelum ini. Tidak kira betapa hebatnya mereka dalam pilihan raya, mereka tetap akan menyertai parti pemerintah selepas pilihan raya,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.
Chieng Jen yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan menegaskan bahawa tiada parti berasaskan tempatan sahaja boleh membetulkan ketidakadilan dan kesalahan yang dilakukan terhadap Sarawak.
“PSB pasti memerlukan ‘rakan kongsi’ di peringkat persekutuan untuk memperbaiki keadaan ini kerana ia melibatkan politik dan dasar negara.
“Dengan kekuatan yang ada pada GPS, sudah pasti mereka (PSB) akan memilih GPS sebagai ‘rakan kongsi’ di peringkat persekutuan, bahkan parti tempatan lain seperti Parti Bumi Kenyalang (PBK) turut akan melakukan perkara yang sama,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Stampin itu juga meramalkan GPS akan menang bersih dalam PRN12 ini sekiranya jika peratusan keluar mengundi lebih rendah daripada 65 peratus.
Walaupun beliau mengakui peratusan keluar mengundi awal pada 14 Disember lalu yang amat memberangsangkan iaitu sebanyak 89 peratus, namun kebanyakan daripada pengundi awal ini adalah penyokong GPS.
“Jika peratusan keluar mengundi biasa lebih rendah daripada 65 peratus, 89 peratus pengundi awal ini akan memberi kesan yang lebih besar kepada keputusan muktamad pilihan raya.
"Terdapat risiko penghapusan kerusi pembangkang di DUN (Dewan Undangan Negeri). Sekiranya ini berlaku, maka ini bakal memberikan kuasa penuh dan mutlak kepada GPS,” katanya.
Tambahnya lagi, senario seperti ini adalah tidak sihat dan ia akan mempengaruhi keputusan dalam menjaga kepentingan Sarawak kerana tidak akan berlakunya semak dan imbang di DUN nanti.
“Ini adalah rayuan terakhir saya kepada pengundi di Sarawak untuk keluar mengundi dan menumpukan undi anda kepada PH. Jangan bazirkan undi pada parti pembangkang yang lain,” katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!