Cawangan parti SUPP tiada hak namakan calon bertanding PRN12
KUCHING - Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menegaskan mana-mana cawangan parti itu termasuk cawangan Kuching tidak mempunyai hak untuk menamakan calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) negeri ini.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan perbalahan berhubung keputusan meletakkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng sebagai calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan pada PRN12 Sarawak hanya ‘pergaduhan keluarga’.
“Dalam perlembagaan parti (SUPP) kita tidak pernah dinyatakan parti cawangan berhak menamakan calon di kawasan masing-masing, kerana ia adalah keputusan yang secara menyeluruh.
“Sebagai contoh, saya sendiri bukan dari SUPP cawangan Batu Kawah tetapi saya adalah wakil rakyat di DUN Batu Kawah, walaupun saya Pengerusi SUPP cawangan Pending.
“Oleh itu saya merayu kepada semua ahli parti memahami bahawa kepentingan parti adalah tertakluk kepada kepentingan tertinggi parti, bukan kepentingan peribadi,’ katanya ketika satu sidang akhbar di ibu pejabat SUPP, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Kui Hian menggesa rakyat Sarawak untuk keluar dan menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada 18 Disember ini kerana ini adalah satu perkara yang serius untuk memilih kerajaan untuk mentadbir negeri.
Beliau turut merayu kepada semua agar tidak terpengaruh ataupun terlibat dengan politik toksik yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sepanjang tempoh kempen ini.
“Saya telah menerima begitu banyak pesanan mesej dengan bahan kempen negatif pada telefon bimbit saya. Ada yang dipenuhi dengan emosi yang jahat, berita palsu dan khabar angin yang tidak betul.
“Jadi saya mahu pengundi sedar dan tidak terjerumus ke dalam perangkap yang dibuat oleh mereka ini tetapi nilailah kami pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan rekod pencapaian dan perwatakan kami,” ujarnya.
Ketua Bahagian Kuching, Datuk Lily Yong sebelum ini telah membubarkan jentera partinya pada 13 Disember yang lalu sebagai tanda membantah pencalonan Hong Seng kerana calon itu bukan antara dua nama yang disenaraikan untuk bertanding di kerusi DUN Padungan.
Untuk rekod, Hong Seng akan berentap dengan tiga calon daripada blok pembangkang iaitu Chong Chieng Jen dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lina Soo dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Raymond Thong dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) pada PRN12 ini.
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!