'Curi duit banyak pun tidak rasa malu'

Dr Maszlee Malik. FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Dr Maszlee Malik. FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM – Penerapan sifat malu dalam jiwa setiap individu diperlukan jika mahu mengatasi isu korupsi, salah guna kuasa dan rasuah.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, ini kerana pada hari ini dilihat sesetengah individu tidak mempunyai perasaan malu apabila mengambil dan mencuri duit serta melakukan salah guna kuasa.

“Curi duit banyak pun dia tidak merasa malu yang kemudiannya dia menggunakan nama tuhan bagi menghilangkan rasa malunya. Ini satu perkara yang kita perlu perbetulkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam forum khas bertajuk ‘Korupsi dan Hipokrasi dalam Politik Melayu-Islam’ anjuran bersama Sinar Harian dan Emir Research yang disiarkan secara dalam talian pada Khamis.

Forum ini mengupas tentang buku terbaru sarjana akademik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang bertajuk ‘Corruption And Hypocrisy In Malay Muslim Politics’.

Selain Maszlee, turut sama sebagai panel ialah bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan dihoskan Sayed Munawar Sayed Mustar.

Maszlee yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam turut menyifatkan krisis malu dalam kalangan sesetengah individu di negara ini adalah sesuatu yang ‘real’.

“Kita lihat komentar-komentar sesetengah kelompok warga net kadang-kadang hilang rasa malu. Komentar terhadap artis dengan ungkapan-ungkapan lucah, gurau rogol dianggap normalisasi dan kadangkala mereka membuat ‘body shaming’ serta mengeluarkan ucapan yang jijik.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi dia tidak merasa malu dan tidak merasa bersalah. Apatah lagi ketika mengambil rasuah,” ujarnya.

Disebabkan itu katanya, penerapan sifat malu ini perlu ditimbulkan di peringkat keluarga seperti ibu bapa dan anak-anak serta dalam kalangan pemimpin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!