Masyarakat sudah hilang rasa malu, tinggalkan nilai-nilai baik

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan masyarakat di negara ini semakin meninggalkan nilai-nilai baik seperti pembudayaan sifat malu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu berkata, perkara itu berkemungkinan berkaitan dengan persekitaran dan sistem yang ada pada hari ini.

“Wujudnya satu ‘rasuah sistemik’ melibatkan semua aspek dalam kehidupan. Dengan wujudnya suasana yang berbentuk sistemik ini akan menyebabkan masyarakat sudah tidak merasa malu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam forum khas bertajuk ‘Korupsi dan Hipokrasi dalam Politik Melayu-Islam’ anjuran bersama Sinar Harian dan Emir Research yang disiarkan secara dalam talian pada Khamis.

Forum ini mengupas tentang buku terbaru sarjana akademik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang bertajuk ‘Corruption And Hypocrisy In Malay Muslim Politics’.

Selain Zambry, turut sama sebagai panel ialah bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan dihoskan Sayed Munawar Sayed Mustar.

Mengulas lanjut, Zambry dalam masa sama turut membangkitkan isu yang pernah disebutkan oleh cendekiawan terkemuka Islam, Ibnu Khaldun tentang punca-punca kejatuhan sesebuah tamadun dan negara.

“Apabila masing-masing sudah hidup dalam keadaan yang lena dan lalai dengan keseronokan. Ini juga pernah disebutkan oleh Ibnu Khaldun dahulu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu tambahnya, punca-punca kejatuhan sesebuah tamadun dan negara yang lain adalah kerana masyarakat sudah berada di luar daripada kehidupan mereka sebelum ini yang saling hormat menghormati.

“Apabila masyarakat itu semakin berkembang, maju, menjadi perbandaran yang begitu canggih sekali dan akhirnya masyarakat masing-masing berkejar kepada satu dunia iaitu dunia yang bersifat materialistik.

“Maka nilai-nilai kerohanian itu sudah hilang. Dia tidak merasa berdosa, bertanggungjawab dengan tuhan. Ini antara saya fikir Prof sendiri mahu tekankan dalam aspek ini (dalam buku terbarunya),” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!