Tiada pilihan kecuali menang
TIADA pilihan lain buat Harimau Malaya selain wajib mendapatkan tiga mata apabila berdepan Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Nasional Singapura pada Ahad.
Melihat perjalanan pasukan negara pada kejohanan dwi tahunan itu, Harimau Malaya kini perlu mengelak daripada terlepas mata penting sekiranya menaruh impian untuk mara ke separuh akhir kejuaraan itu selepas anak buah Shin Tae-yong mengikat Vietnam tanpa jaringan di Stadium Bishan pada Rabu.
Justeru pengendali pasukan negara, Tan Cheng Hoe menggesa anak buahnya menggunakan baki rehat untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal yang dilihat akan menjadi kunci kemenangan Harimau Malaya.
“Kita perlu menang perlawanan ini, tak kisah walau apa perkara sekalipun yang berlaku kalau mahu mara ke peringkat yang seterusnya.
“Jadi ada masa lagi dua tiga hari ini, gunakan sebaiknya untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal. Fikiran dan minda pemain perlu positif selain mereka perlu percaya dengan prestasi yang dimiliki ketika bermain menentang Indonesia.
“Sebab kita jangka Indonesia kemungkinan akan bermain secara bertahan dan hanya perlu seri untuk mara ke peringkat seterusnya. Paling penting kita kena turun dengan suasana dan persediaan yang terbaik,” katanya dalam sidang media dalam talian pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut, Cheng Hoe berpandangan Malaysia memiliki sedikit kelebihan dari segi pengalaman berbanding Indonesia yang dibarisi ramai pemain muda.
Begitupun jelasnya, ia bukanlah bermakna Malaysia mempunyai peluang yang cerah pada perlawanan itu memandangkan ubi muda Indonesia itu memiliki kelajuan dan cukup bersemangat setiap kali diturunkan.
“Indonesia membawa ramai pemain muda yang laju dan cukup bersemangat pada kejohanan kali ini. Kepantasan pemain Indonesia itu adalah senjata utama mereka selain motivasi yang tinggi dimiliki mereka.
“Namun saya lihat pengalaman mungkin memihak kepada kita dan berharap pemain dapat bersedia dan fokus terutama ketika menyerap asakan Indonesia nanti. Kita kena kurangkan kesilapan dan jika kita dapat lakukannya, keputusan boleh berpihak kepada kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!