Jual roti canai 50 sen sejak tiga dekad

Seorang bekas tentera dari Kampung Padang Pak Amat di Pasir Puteh masih mengekalkan jualan roti canai pada harga 50 sen sekeping sebagaimana yang dilakukan sejak tiga dekad lalu.
Seorang bekas tentera dari Kampung Padang Pak Amat di Pasir Puteh masih mengekalkan jualan roti canai pada harga 50 sen sekeping sebagaimana yang dilakukan sejak tiga dekad lalu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang bekas tentera dari Kampung Padang Pak Amat di sini masih mengekalkan jualan roti canai pada harga 50 sen sekeping sebagaimana yang dilakukan sejak tiga dekad lalu.

Meskipun berlaku kenaikan kos bahan mentah seperti tepung dan lain-lain ketika ini, Md Kamil Abdullah, 63, tetap istiqamah menjual roti canai kosong pada harga 50 sen sekeping.

"Saya mula berniaga dengan harga ini sejak tahun 1988, walaupun harganya serendah itu namun keuntungan hasil jualan roti canai tersebut masih boleh dinikmati sehingga kini.

"Hasil jualan roti canai selama 33 tahun inilah saya menyara keluarga dan membesarkan lapan orang anak dengan sempurna mengikut kadar kemampuan," katanya kepada Sinar Harian di Kampung Padang Pak Amat, Jalan Jeram Pasu di sini pada Khamis.

Md Kamil menunjukkan roti canai bersama kuah yang dijual di kedainya sejak 33 tahun lalu di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh.
Md Kamil menunjukkan roti canai bersama kuah yang dijual di kedainya sejak 33 tahun lalu di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh.

Menurutnya, roti canai 50 sen itu merupakan sebahagian daripada 'pelaburan' akhirat kerana mahu membantu penduduk menikmati hidangan tersebut pada harga rendah.

Katanya, rata-rata pelanggannya adalah penduduk kampung yang mempunyai pendapatan tidak menentu kerana bekerja sebagai penoreh getah.

Md Kamil berkata, setiap hari dia akan dibantu isteri, Maizan Shaari, 54, dan empat anaknya sebaik sahaja kedai dibuka pada jam 3.30 petang.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum Covid-19 saya mampu menjual 1,000 keping roti canai sehari. Namun selepas Covid-19 hanya 700 biji sahaja yang mampu terjual.

"Selain roti kosong, saya juga menjual roti canai telur dengan harga RM1 dan RM2 untuk martabak. Saya gunakan telur gred 'double A' supaya pelanggan dapat menikmati rasa telur dalam roti canai itu," katanya.

Orang ramai menunggu giliran bagi mendapatkan roti canai yang dijual Md Kamil.
Orang ramai menunggu giliran bagi mendapatkan roti canai yang dijual Md Kamil.

Menurutnya, dia tidak pernah menyesal menjual hidangan itu pada harga 50 sen meskipun berdepan peningkatan harga kos bahan mentah.

Dia berkata, pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada penduduk setempat tetapi dari seluruh Pasir Puteh serta jajahan lain dan juga luar Kelantan.

Katanya, anak sulungnya yang berniaga di Kampung Aur Gading, Kuala Lipis Pahang turut mengikut jejaknya dengan menjual roti canai 50 sen sekeping.

Kedai Md Kamil dibuka setiap hari kecuali Selasa bermula jam 3 petang hingga 10 malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!