Pengayuh beca di Pulau Pinang sudah mampu tersenyum
GEORGETOWN - Golongan pengayuh beca di negeri ini kini boleh menarik nafas lega apabila pendapatan mereka mula menunjukkan perkembangan positif sehingga mampu meraih RM150 hingga RM200 sehari.
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu, pendapatan pengayuh beca di negeri ini terjejas sehingga ada antara mereka hidup melarat.
Sebahagian besar mereka hanya membawa pulang 'tangan kosong' tanpa sebarang pendapatan dan berharap kepada bantuan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semata-mata untuk meneruskan hidup.
Pengerusi Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang, Abdul Latiff Mohd berkata, pelaksanaan PKP 2.0 bermula Januari lalu dan kemudian diteruskan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah mematahkan semangat penarik beca untuk mencari rezeki.
Bagaimanapun, katanya, keadaan mula berubah selepas kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri bermula 11 Oktober lalu.
"Alhamdulillah selepas dibenarkan merentas negeri, seperti ada cahaya kepada kami pengayuh beca kerana orang luar dari Pulau Pinang datang ke sini untuk bercuti. Apabila pengunjung ramai, maka pendapatan kami semakin pulih.
"Walaupun tidak pulih sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya kami ada pendapatan berbanding sebelum ini. Dulu nak dapat RM1 pun susah, hanya bergantung kepada bantuan sahaja," katanya ketika ditemui di Lebuh Acheh di sini pada Khamis.
Seorang pengayuh beca, Tan He Peng, 74, berkata, dia kini mampu meraih RM100 setiap hari selepas pengunjung mula mengunjungi Pulau Pinang.
He Peng yang mengayuh beca sejak 33 tahun lalu berkata, sebelum ini dia hanya mengharapkan bantuan dan ihsan ahli keluarganya untuk meneruskan hidup.
"Saya menyewa bilik dengan harga RM200 sebulan. Saya bayar sewa menggunakan wang bantuan kerajaan negeri sebanyak RM200. Wang belanja harian, saya bergantung kepada bantuan NGO dan ahli keluarga.
"Hampir dua tahun hidup sangat susah, perit sangat. Nak makan pun tiada duit. Namun, sejak Oktober lalu, keadaan berubah. Kami pengayuh beca pun sudah ada kerja. Pendapatan pun dah ada, sehari RM100 pun sudah boleh dapat," katanya.
Seorang lagi pengayuh beca, Mohamad Ibrahim Mohamad, 68, berkata, ketika ini setiap hari ada pelanggan dan paling ramai adalah ketika cuti umum dan hujung minggu.
"Saya bersyukur kerana keadaan semakin pulih dan kami pengayuh basikal tidak lagi terdesak untuk hidup.
"Saya sudah mengayuh beca sejak lima tahun lalu. Dua tahun lalu sejak Covid-19, itu yang paling teruk saya rasa," luahnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, terdapat pengayuh beca di negeri ini terpaksa hidup melarat apabila terpaksa tidur di dalam beca dan mandi di tandas awam kerana tiada pendapatan untuk menyewa bilik atau rumah.
Pendapatan mereka tidak menentu sejak PKP 1.0 dan keadaan bertambah buruk selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 di enam negeri termasuk Pulau Pinang pada 13 Januari lalu.
Dalam perkembangan lain, sebanyak 167 buah beca di Pulau Pinang bakal diberikan imej baharu pada tahun depan bagi menarik lebih ramai pelancong menggunakan perkhidmatan pengangkutan tertua di negeri ini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, setiap pengayuh beca yang berdaftar akan diberikan peruntukan untuk tujuan berkenaan.
Katanya, perancangan untuk memberikan transformasi kepada imej beca di negeri ini tertangguh selama hampir dua tahun susulan pandemik Covid-19.
"Peruntukan akan diberikan kepada semua pengayuh beca berlesen yang mendaftar dengan kerajaan negeri. Usaha ini adalah untuk menambah baik imej beca, kebersihan serta meningkatkan tahap keselamatan pengayuh beca dan pengguna.
"Langkah ini akan dilaksanakan pada Januari depan. Perincian mengenainya seperti berapa jumlah peruntukan, warna baharu beca dan sebagainya akan diumumkan dalam tempoh terdekat," katanya.
Beliau menjelaskan, perancangan usaha itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengayuh beca yang mahukan pembaharuan demi menarik minat pengunjung.
"Selain usaha untuk mencantikkan beca ini, kerajaan negeri sentiasa memastikan kehidupan pengayuh beca ini terjaga. Walaupun tidak banyak bantuan yang diberikan, namun wang tunai RM200 setiap bulan sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan mereka.
"Perubahan imej beca itu nanti diharapkan dapat membantu menjana pendapatan kepada mereka dan memberi lebih keyakinan kepada pelancong menggunakan perkhidmatan ini," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bakul makanan kepada 80 penarik beca di Lebuh Acheh di sini pada Khamis.
Sumbangan daripada One Hope Charity and Welfare itu disampaikan pengerusinya, Datuk Chua Sui Hau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!