'Kambing tidak mengembek, rupanya ditelan si batik gergasi'
SETIU - Seorang penternak tidak menyangka suasana suram kerana kambingnya berhenti mengembek merupakan petanda seekor daripada haiwan peliharaannya itu telah ditelan ular sawa batik 'gergasi'.
Kehadiran reptilia itu disedari seorang penternak, Zawiyah Senik, 54 ketika ke kandang kambing berhampiran kediaman di Kampung Merang, di sini untuk memberi makan dedak kira-kira jam 11.45 pagi pada Khamis.
Abangnya, Abd Aziz Senik, 61, berkata, adiknya yang terkejut dengan penemuan itu segera memanggilnya sebaik melihat haiwan seberat 100 kilogram itu berlingkar kekenyangan di dalam kandang.
"Semalam (Khamis) cuaca hujan dari pagi hingga tengahari. Adik saya agak lewat ke kandang kambing untuk beri makan. Hairan juga kerana biasanya kambing perliharaanya akan mengembek apabila tiba waktu makan pada waktu tengah hari.
"Keadaan juga agak berbeza kerana kebanyakan kambing tidak mengeluarkan bunyi seolah-olah ketakutan. Salah seekor daripadanya iaitu ibu kambing beranak dua yang buta mata sebelah kiri pula tidak kelihatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Menurut Abd Aziz, ular itu dipercayai telah menelan ibu kambing berkenaan pada sebelah malam berdasarkan kedudukan kambing yang berada pada bahagian tengah perutnya.
"Saya anggarkan kejadian ini berlaku sebelah malam kerana biasanya seekor ular akan mengambil masa yang agak lama untuk menelan kesemua mangsanya.
"Lagipun kambing yang dimakan itu buta sebelah mata dan tidak berupaya melihat kehadiran haiwan pemangsa itu sebelum dibelit dan ditelan," katanya.
Abd Aziz berkata, kali terakhir kediaman itu 'dikunjungi' ular sawa batik kira-kira lima tahun lalu yang membaham ayam di dalam reban.
Sementara itu, Pegawai Operasi Skuad Delta Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Terengganu/ Kuala Nerus, Lt M (PA) Norulhaida Md Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan ular itu sekitar jam 11.55 pagi.
"Seramai tiga anggota APM tiba dilokasi kejadian pada jam 12.30 tengah hari dan ular berkenaan berjaya ditangkap dan dibawa ke lori APM setengah jam kemudian.
"Ular sawa seberat 100kg dan panjang 6 meter itu dibawa ke APM Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!