Senarai pemain KDA musim depan hampir lengkap
KEDAH Darul Aman (KDA) FC hampir melengkapkan barisan pemainnya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, pihaknya kini di peringkat akhir rundingan untuk membawa masuk pemain baharu bagi memperkuatkan cabaran skuad Lang Merah.
"Pasukan kita sudah hampir lengkap, cuma ada satu dua masih dalam rundingan untuk mencari kata sepakat tapi kalau ikut kepada pemain yang masuk Disember ini, sudah hampir lengkap sama ada pemain tempatan mahupun import.
"Satu atau dua rundingan itu memang masih berjalan sebab kita punya tarikh pendaftaran pemain sehingga hujung Januari depan baru berakhir, jadi kita ada masa yang banyak untuk selesaikan semua ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ke-46 di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa pemain baharu termasuk pemain import yang menyertai KDA FC setakat ini adalah pemain berpengalaman yang dijangka mampu memperkuatkan pasukan terutama untuk beraksi di saingan Piala AFC.
"Ada yang tanya mengapa tukar semua lima pemain import kita sebelum ini, sebabnya pemain yang kita pilih untuk musim depan ini dua atau tiga orang biasa bermain dalam Piala AFC dan pasukan mereka itu sukses dalam kejohanan tersebut,” katanya.
Setakat ini, KDA FC sudah mengumumkan pemain pertahanan dari Korea Selatan, Jang Suk-Won dan pemain tengah dari Ivory Coast, Dechi Marcel N'Guessan, sebagai pemain import pasukan berkenaan untuk musim depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!