Mahkamah dengar keterangan genosid dari wakil Rohingya
BUENOS AIRES - Seorang wakil untuk komuniti minoriti Rohingya memberi keterangan di sebuah mahkamah Argentina pada Khamis sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap tuduhan jenayah menentang kemanusiaan ke atas tentera di Myanmar.
Mahkamah itu bersetuju untuk menyiasat tuduhan tersebut berdasarkan prinsip bidang kuasa sejagat yang menyatakan bahawa beberapa tindakan termasuk jenayah perang dan jenayah menentang kemanusiaan boleh diadili di mana-mana sahaja.
Pada tahun 2017, tentera Myanmar melakukan tindakan keras ke atas Muslim Rohingya yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mungkin menjadi pembunuhan beramai-ramai atau genosid.
Tindakan itu menyebabkan lebih 740,000 etnik tersebut melarikan diri ke luar negara terutama ke Bangladesh.
"Kami bimbang keadaan mungkin bertambah buruk.
"Justeru, penting kami mendesak masyarakat antarabangsa mencari keadilan bukan hanya pengadilan di sini tetapi juga kes lain untuk masyarakat antarabangsa memberikan sokongan," kata Tun Khin iaitu Presiden Pertubuhan Rohingya United Kingdom (UK) yang berpusat di Britain kepada wartawan di luar mahkamah di Buenos Aires menjelang perbicaraan seperti dilaporkan AFP.
Prosiding lain terhadap Myanmar dan pemimpinnya sudah dijalankan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa PBB. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!