Najib, Anwar dan Azmin doakan kesembuhan Tun M

Laporan Sinar Harian pada Khamis mengenai Dr Mahathir yang dimasukkan ke IJN.
Laporan Sinar Harian pada Khamis mengenai Dr Mahathir yang dimasukkan ke IJN.
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendoakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) petang pada Khamis supaya diberikan kesembuhan.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian menerusi hantaran di Facebooknya malam Jumaat dan turut berkongsi kenyataan daripada IJN yang memaklumkan mengenai keadaan Dr Mahathir.

“Semoga dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesembuhan,” katanya.

Selain Najib, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut sama mendoakan bekas Perdana Menteri itu.

“Saya doakan Insya-ALLAH aafiyah buat @chedetofficial,” katanya menerusi ciapan di Twitternya tengah malam Jumaat.

Di samping itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mendoakan Ahli Parlimen Langkawi itu kekal sihat sejahtera.

“Doa saya untuk Tun @chedetofficial yang dikasihi, semoga beliau kekal dalam keadaan sihat sejahtera dan dibenarkan pulang tidak lama lagi untuk kembali berkhidmat kepada rakyat dan negara, Insya-ALLAH,” tulisnya menerusi ciapan di Twitternya.

IJN menerusi satu kenyataan memaklumkan, Dr Mahathir tiba di pusat perubatan itu kira-kira jam 7 petang semalam.

Menurut IJN, Dr Mahathir akan menjalani pemeriksaan penuh kesihatan dan memerlukan pemerhatian lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!