Perak pertimbang tuala wanita mesra alam atasi miskin haid
IPOH - Kerajaan Perak sedia mempertimbangkan penggunaan tuala wanita mesra alam dan kitar semula bagi menangani isu kemiskinan haid di negeri ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, cadangan penggunaan tuala wanita mesra alam dan kitar semula itu sangat baik kerana praktikal dan menjimatkan kos.
Menurutnya, ketika ini kerajaan negeri bersama Sekretariat Wanita Perak merancang menganjurkan program pemberian Kit Asas Kebersihan Wanita bagi membantu mereka yang mengalami kesukaran, kekurangan atau ketiadaan untuk mendapatkan kelengkapan haid seperti tuala wanita.
"Kerajaan negeri akan melihat melihat peluang ini untuk menggunakan kemahiran wanita mencipta peluang perniagaan sosial yang boleh diusahakan oleh golongan wanita menghasilkan pad kitar semula.
"Tuala wanita yang dihasilkan itu boleh juga dijual pada harga yang lebih rendah tetapi bergantung kepada kemudahan bekalan air bersih yang didapati bagi menguruskan peralatan tersebut. Ini secara tidak langsung dapat mewujudkan ekosistem yang memberi peluang wanita untuk meningkatkan tahap sosioekonomi," katanya kepada ketika menjawab soalan tambahan Jamilah Zakaria (BN-Trong) sempena Persidangan Keenam, Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Jumaat.
Sementara itu, menjawab soalan lisan Wong May Ing (DAP-Pantai Remis), Wan Norashikin berkata, dianggarkan 1,730 remaja perempuan yang menghadapi masalah kemiskinan haid di Perak.
Katanya, bagaimanapun kajian lebih tepat sedang dikumpul oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri bersama Sekretariat Wanita Perak melibatkan pelbagai jaringan rakan strategik kolaborasi daripada agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama menerusi sekolah supaya faktor yang menyumbang kepada kemiskinan haid dapat dikaji dan memberi langkah terbaik untuk jangka masa panjang.
Menurutnya, sebagai langkah menangani masalah itu, LPPKN Perak telah mengambil langkah awal dengan melaksanakan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif melalui Program Advokasi KafeTEEN@PIK dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyebarkan maklumat pengurusan haid kepada 576 peserta perempuan di peringkat sekolah rendah dan menengah yang diadakan secara dalam talian.
"Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak juga menganjurkan program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Seksual melibatkan 12 siri webinar dengan kerjasama Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Federation of Reproductive Health Assosiation Malaysia bertujuan bagi mendidik masyarakat tentang aspek kesihatan wanita dan kanak-kanak.
"Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) turut mengambil inisiatif memberi bantuan secara one-off kepada golongan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19, dengan pemberian barangan tuala wanita, lampin pakai buang dan susu tepung kanak-kanak di 18 buah daerah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!