#Rasuah Busters wajar perkukuh di peringkat pemikiran, teoretikal
SHAH ALAM - Gerakan inisiatif Sinar Rasuah Buster yang bersifat ‘demonstrative’ (pengajaran) dan aktivis itu wajar digabungkan serta diperkukuhkan di peringkat pemikiran atau secara teoretikal.
Sarjana akademik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan berkata, gerakan massa seperti itu akan menggembleng tenaga rakyat bawahan daripada semua kaum menentang amalan rasuah dan penipuan politik.
“Inisiatif yang Ketua Pasukan Teras Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Sinar Harian ambil untuk membentuk gerakan Sinar Rasuah Busters itu amat saya hargai.
“Ada baiknya inisiatif gerakan massa yang bersifat ‘demonstrative’ dan aktivis ini digabungkan dan diperkukuhkan di peringkat pemikiran kerana transformasi moral etika yang diperlukan itu melibatkan kefahaman benar dan meluas mengenai pengertian politik serta urus tadbir awam dalam pandangan Islami atau rukyatul Islami wujud.
“Ia yang tidak banyak dipelajari atau difahami oleh masyarakat Islam sendiri apa lagi pemimpin politik dan penjawat awam,” katanya dalam Forum Khas: Korupsi Dan Hipokrasi dalam Politik Melayu-Islam melalui semua platform Sinar Harian pada Khamis.
Forum berkenaan turut menampilkan empat lagi panelis iaitu bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan dihoskan Sayed Munawar Sayed Mustar.
Dalam pada itu, Mohd Kamal yang juga bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut menyifatkan tindakan pemimpin politik Melayu ingin menambah jumlah parti orang-orang Melayu sebagai kurang bijak.
“Kematangan politik dan ajaran Islam ialah mengurangkan jumlah (parti politik). Banyak jumlah parti itu sebenarnya membawa keburukan kepada umat Islam sendiri.
“Selain itu, masyarakat minoriti yang mempunyai kepentingan dan mempunyai sikap anti Islam akhirnya akan mengambil peluang untuk menjejaskan kedudukan Islam,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!