Masih relevankah politik pembangunan?

A
A
A

KETIKA mana negara bakal menyaksikan satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan, kita masih mendengar cakap-cakap tentang kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi PRK di Semenyih yang boleh dianggap luar biasa.

Dilihat, kemampuan BN menang di Semenyih dan juga Cameron Highlands sebelumnya tanpa perlu bergantung kepada pendekatan politik pembangunan yang sangat sinonim dengan parti itu amat menarik untuk diperhatikan.

Sebelum ini, kemampuan BN menggunakan pembangunan secara efektif dan berkesan telah berjaya menjadikan parti itu begitu dominan sehingga ia mampu berkuasa selama 61 tahun di Malaysia.

Untuk memahami perkara ini, pendekatan pembangunan dalam politik selalunya dikaitkan dengan tindakan ekonomi yang bersifat politik (politik pembangunan). Dalam konteks Malaysia, politik pembangunan muncul sebagai satu alternatif kepada pendekatan kapitalisme dalam melihat peranan pemerintah dalam membangunkan ekonomi negara.

Selaras dengan sifat Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun, pertumbuhan ekonomi menjadi pra-syarat utama untuk mencapai pembangunan dan seterusnya memakmurkan negara. Malangnya landskap politik Malaysia selepas merdeka tidak kondusif untuk pasaran bebas berfungsi.

Tiga faktor menjadi penyebab kepada perkara itu, pertama sudah tentulah asas ekonomi negara yang lemah. Kedua perkauman yang menebal dan ketiga, semacam wujud pengkhususan kaum dalam penguasaan ekonomi dan politik negara yang mencipta persaingan.

Kerencaman kaum yang seimbang komposisinya seperti membentuk kekuatan yang memberi kelebihan pada kaum masing-masing dalam persaingan politik dan ekonomi. Hal ini dapat dilihat pada dua kelompok utama, Melayu-Bumiputera dan Cina yang memiliki kuasa politik dan kekuatan ekonomi.

Malah, ia menajamkan lagi konflik kaum yang telah sedia ada lalu mencipta persaingan baharu dalam menambah atau mengurangkan penguasaan kelompok masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan itulah Malaysia mengguna pakai pendekatan politik pembangunan sebagai satu counter-idea kepada pendekatan pasaran bebas di mana ia memperincikan negara pembangunan menerusi sifatnya yang menjadikan pemerintah sebagai penaja kepada perkembangan sosioekonomi negara melalui pemupukan nasionalisme ekonomi.

Ini menjadikan peranan pemerintah di Malaysia lebih holistik berbanding di Jepun, Hong Kong dan Korea Selatan kerana campur tangan pemerintah dilihat mendominasi hampir keseluruhan aspek bermula dari merencana, merancang dan memprogramkan hala tuju ekonominya yang menekan pasaran atas nama kepentingan nasional dan kesejahteraan rakyat.

Dalam memperincikan konsep negara pembangunan, terdapat tiga asas utama kepada keberjayaan itu. Pertama, prestasi ekonomi suatu negara merupakan sumber utama legitimasi pemerintah. Hal ini menjadikan BN sentiasa mendapat legitimasi rakyat setiap kali pilihan raya diadakan disebabkan prestasi ekonomi yang baik dikaitkan dengan keberkesanan parti itu dalam merancang dan melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang pro pembangunan dan memakmurkan rakyat.

Kedua, keberkesanan pemerintah menggunakan kuasa mereka sebagai kerajaan untuk meminimumkan risiko perkembangan kapitalisme, dan menggabungkan kebolehan kerajaan serta sumber keusahawanan untuk memaksimumkan pembangunan atas kepentingan negara.

Ketiga, kerjasama yang baik di antara birokrasi dan ahli politik yang membolehkan proses pembangunan berkesan dan bebas daripada kekangan kepemimpinan, prosedur pentadbiran dan karenah birokrasi yang merencatkan pembangunan.

Tun Dr Mahathir sendiri ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia banyak mengguna pakai pendekatan politik pembangunan dalam konteks Malaysia sebagai negara pembangunan. Ini sudah tentu berkait rapat dengan kepercayaan kuat beliau kepada perlunya kerajaan yang kuat kerana kelemahan kapitalisme tanpa kawalan kerajaan yang kuat hanya sekadar menawarkan penyelesaian sementara kepada masalah perkauman di Malaysia.

Sifat kapitalisme yang anti pemerintah dan obsesi keterlaluan terhadap kemampuan pasaran dalam menyelesaikan pelbagai masalah, termasuklah politik dan sosial nampaknya sukar diaplikasikan dalam konteks Malaysia.

Sebab itu Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang dirangka mengikut kerangka kapitalisme ketika era Tun Abdul Razak berubah apabila Dr Mahathir mengambil alih pemerintahan. Di peringkat permulaan, DEB berjalan dengan lancar dan berfungsi sepertimana yang diharapkan.

Namun begitu, politik pembangunan mula mengambil tempat apabila Dr Mahathir melihat unsur kapitalisme dalam DEB gagal menyelesaikan masalah perkauman setelah menyedari DEB masih belum mampu untuk mengurangkan jurang ekonomi antara kaum, memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dan sudah tentu, masih gagal membentuk perpaduan dan integrasi kaum sepertimana yang diharapkan.

Terbukti formula Dr Mahathir itu berkesan dan menjadikan BN terus diberi mandat untuk memerintah sehinggalah parti itu kalah kepada Pakatan Harapan (PH) tahun 2018. Walaupun pelbagai perkara dikaitkan dengan kekalahan itu, kelemahan BN untuk menggunakan politik pembangunan yang sesuai dengan perubahan generasi dan zaman barangkali antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan itu.

Sukar untuk mengatakan politik pembangunan tidak lagi relevan di Malaysia. Mungkin pada ketika ini, baik PH dan BN barangkali perlu memikirkan bagaimana untuk mengolah politik pembangunan bentuk baharu dalam perencanaan politik mereka kerana daripada apa yang berlaku sekarang, ia masih lagi menjadi unsur terpenting dalam berpolitik, apatah lagi ketika pilihan raya.

* Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!