YBR hargai kecemerlangan 34 graduan tajaan mereka
YBR menganugerahkan wang tunai dengan jumlah keseluruhannya bernilai lebih RM34,000 serta sijil penghargaan kepada graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana yang telah berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan CGPA 3.50 ke atas bermula Julai 2020
Pengerusi, Datuk Wira Hj Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, ganjaran wang tunai bernilai RM1,000 seorang itu diberikan kepada graduan yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang, serta sebagai penghargaan kepada mereka yang telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan di dalam pengajian serta aktif dalam pembabitan kokurikulum.
“Anugerah Kecemerlangan Anggota yang telah diperkenalkan sejak tahun 2015 merupakan salah satu usaha YBR bagi menghargai dan memberi inspirasi kepada anak-anak anggota Bank Rakyat serta pelajar tajaan untuk mencapai keputusan akademik yang terbaik,”
“Dalam mendepani cabaran Industri 4.0, pelajar bukan sahaja perlu bijak malah konsisten dari segi emosi, kreativiti, inovatif dan bijak merebut peluang serta berani mengambil risiko dalam membuat keputusan,” katanya pada majlis tersebut.
Katanya, YBR menyediakan pelbagai peruntukan bagi pembangunan modal insan termasuk mengubah Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada Biasiswa kepada pelajar tajaan yang mendapatkan keputusan cemerlang.
Majlis ini turut dihadiri oleh Naib Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak serta Pemangku Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Abd Samad Khalid.
Sementara itu, penerima Anugerah, Muhammad ‘Afif Jazli Samion, 24, yang mengambil jurusan Sains Gunaan (Teknologi) berkata, minat yang berterusan, semangat tidak putus asa serta sokongan ibu-bapa adalah elemen penting kepada kejayaannya.
Manakala, Fauzah Mohamed, 25, yang mengambil jurusan Pendidikan Vokasional turut berkata, pendidikan adalah penting dalam mencorakkan masa depan seseorang.
“Galakkan dari pensyarah dan rakan-rakan seperjuangan amat membantu dalam mengekalkan momentum semasa pengajian.
“Ini memberi kepuasan berganda dan anugerah yang saya terima ini merupakan rezeki hasil usaha dan doa yang tidak pernah putus,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!