Insiden bot terbalik: Kawasan pencarian diperluas cari 17 mangsa
KOTA TINGGI - Operasi carilamat mangsa insiden bot terbalik di Tanjung Balau yang masih hilang diperluaskan sehingga 214.8 batu nautika dari perairan berkenaan hingga Tanjung Penawar, di sini.
Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, usaha itu dilakukan bagi menambah keberkesanan operasi mencari kira-kira 17 lagi mangsa yang masih hilang sejak kejadian berlaku pada pagi Rabu.
"Untuk operasi pada hari ketiga ini, sebanyak tiga pesawat udara turut digerakkan bagi pencarian udara yang mana melibatkan sebuah helikopter Maritim Malaysia, sebuah helikopter Pasukan Gerakan Udara Polis dan sebuah helikopter daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Pencarian di laut pula akan melibatkan lima aset daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin. Kesemua ini akan merangkumi jajaran sejauh 214.8 batu nautika dari Tanjung Balau di sini," katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah bot pancung yang membawa kira-kira 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Lombok, Indonesia terbalik akibat cuaca buruk pada jam 4.30 pagi pada Rabu.
Maritim Malaysia Negeri Johor dengan kerjasama agensi berkaitan kemudian melaksanakan operasi carilamat yang mana sehingga hari kedua dilakukan seramai 33 mangsa telah ditemui yang mana 14 daripadanya selamat dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
Simon Templer berkata, operasi carilamat bagi hari ketiga yang dilakukan pada Jumaat menunjukkan tiada sebarang penemuan dibuat dan usaha mengesan kesemua 17 mereka masih giat dilakukan.
"Untuk operasi pada hari ini (Jumaat), kami masih belum menemui sebarang mangsa. Hanya penemuan lapan mangsa yang meninggal dunia semalam yang menjadikan keseluruhan mangsa maut kini 19 orang.
"Sektor pencarian kini diluaskan dan berharap menemui petunjuk baharu," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bot tukar haluan sebelum karam di Tanjung Balau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!