Pendekatan pemasaran MyStie 5.0 berupaya bantu perniagaan terjejas

Dr Adham Baba - Foto Bernama
Dr Adham Baba - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Lima pendekatan pemasaran di bawah inisiatif pemasaran dan penjenamaan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE) 5.0 berupaya untuk membantu perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, lima pendekatan itu adalah pemasaran yang dipacu data (data-driven marketing), ramalan (predictive marketing), kontekstual (contextual marketing), augmentasi (augmented marketing) dan ketangkasan (agile marketing), katanya.

Merujuk Laporan Digital 2021 yang mana pengguna internet global mencecah 4.88 bilion pada bulan Oktober 2021 sahaja, Dr Adham berkata, usahawan perlu memahami kepentingan data untuk menganalisis trend semasa, meramal permintaan dan penawaran oleh pelanggan memandangkan setiap perniagaan yang diceburi akan bersifat mampan dan kalis masa depan.

“Apabila kemudahan ini diguna dengan kreatif dan inovatif, potensi penerimaan dan pembelian produk atau sesuatu perkhidmatan itu sudah pasti lebih meluas bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dr Adham berkata demikian pada majlis pelancaran inisiatif pemasaran dan penjenamaan MySTIE 5.0 secara maya yang diadakan bersama majlis perasmian Masterclass by Philip Kotler, yang dikenali sebagai Bapa Pemasaran Moden dari Amerika Syarikat pada Jumaat.

Inisiatif pemasaran dan penjenamaan MySTIE 5.0 itu merupakan usaha sama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia, yang antara lain menitikberatkan penglibatan pelbagai pemegang taruh seperti agensi kerajaan, syarikat swasta serta peniaga kecil dan sederhana menerusi pendekatan senegara.

Lebih 600 peserta dalam talian menyertai sesi Masterclass bersama Kotler yang bertajuk Company Decisions and Marketing 5.0, yang mana beliau berkongsi ilmu pemasaran terkini dengan para peserta.

Dr Adham berkata, MOSTI komited untuk menyokong komuniti usahawan negara ini agar berada di hadapan dengan menggunakan kaedah pemasaran terbaik melalui teknologi dan inovasi terkini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!