Penganggur didakwa bunuh warga emas

Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Klang, pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang warga emas di Pelabuhan Klang dekat sini, minggu lepas. - Gambar hiasan
Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Klang, pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang warga emas di Pelabuhan Klang dekat sini, minggu lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang warga emas di Pelabuhan Klang dekat sini, minggu lepas.

Muhammad Shahrul Shamsudin, 33, hanya berdiam diri selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P Sarulatha dan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Muhammad Shahrul didakwa membunuh Mohd Sani Abdullah, 69, pada 12.38 tengah hari pada 10 Disember lepas di hadapan sebuah rumah di Kampung Idaman, Pelabuhan Klang, dekat sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam K Nathiya meminta Muhammad Shahrul dirujuk ke hospital kerana keluarga tertuduh mendakwa lelaki itu mempunyai masalah psikiatri namun tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 17 Januari 2022 untuk sebutan semula kes dan mengarahkan tertuduh dirujuk ke hospital psikiatri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifli.

Pada 10 Disember, media melaporkan polis menahan dua lelaki berusia 33 tahun dalam tempoh kurang empat jam selepas disyaki membunuh seorang kontraktor di Kampung Idaman, Pelabuhan Klang, dekat sini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat tunai solat Jumaat, warga emas maut ditikam

Dua suspek tikam warga emas direman seminggu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!