K-League hangatkan fenomena bola sepak Kedah
AHLI gabungan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mencapai kata sepakat pada Kongres KFA kali ke-46 hari Khamis untuk menganjurkan kejohanan liga bola sepak tempatan yang dikenali K-League bagi menghangatkan kembali industri sukan tersebut di negeri jelapang padi pada tahun hadapan.
Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sekurang-kurangnya enam piala akan dipertandingkan pada tahun 2022 bagi memeriahkan aktiviti bola sepak di Kedah selepas suram akibat Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Menurut beliau, piala utama yang akan dipertandingkan adalah Piala Tuanku Sultan Kedah, Piala Menteri Besar Kedah, Piala KFA, 'Kedah Grassroot League' bawah 12 tahun, Liga Futsal Kedah dan Langkawi International Beach Soccer.
"Enam kejohanan yang telah dicadangkan ini bakal menyemarakkan kembali sukan bolasepak di Kedah selepas suram selama dua tahun akibat Covid-19.
"Saya berjumpa dengan beberapa penaja sebelum ini. Beberapa syarikat besar bersetuju untuk menaja liga tempatan yang akan kita muktamadkan beberapa hari lagi yang akan dianjurkan oleh KFA," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman, di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Kongres KFA kali ke-46 yang bermula pada jam 10 pagi dan berakhir kira-kira lebih satu jam kemudian.
Mengulas lanjut, Menteri Besar Kedah itu berkata, penganjuran liga tempatan pada tahun 2022 menjadi antara agenda utama yang dibincangkan KFA dalam kongres selepas persatuan tersebut berpisah daripada Kedah Darul Aman FC (KDA FC)
Menurutnya, KFA kini memberi fokus sepenuhnya kepada aspek pembangunan bola sepak di peringkat negeri.
''Perancangan liga tempatan yang dicadang bakal memberikan suasana baharu dalam kalangan warga Kedah mengembangkan bakat mereka pada acara yang akan dipertandingkan nanti,'' ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!