MPAJ hilang hasil RM9 juta dalam tempoh Covid-19
AMPANG - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kehilangan hasil sebanyak RM9 juta dalam tempoh dua tahun pandemik Covid-19.
Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, ia susulan kelonggaran dan beberapa inisiatif yang diperkenalkan bagi membantu masyarakat menempuh saat sukar sepanjang pandemik itu.
Menurut beliau, pengecualian denda lewat pembayaran cukai taksiran sebanyak RM20 antara langkah yang dilaksanakan MPAJ bagi tujuan tersebut.
"Selain itu, kami turut melaksanakan program bantuan di bawah MPAJ Prihatin, nyah cemar serta diskaun pengurusan pengebumian jenazah Covid-19 sebanyak RM200 di tanah perkuburan seliaan MPAJ," katanya pada Program Turun Padang ke Dewan Datuk Ahmad Razali Kampung Melayu Ampang pada Khamis.
Beliau berkata, langkah mendapatkan semula hasil tersebut tidak terlalu ditekankan kerana inisiatif diperkenalkan sebagai tanda prihatin MPAJ membantu masyarakat.
"Kami mahu memberitahu masyarakat bahawa MPAJ bukan hanya menjalankan penguatkuasaan tetapi turut melaksanakan kebajikan melalui sumber hasil yang diterima.
"MPAJ akan membuat penelitian semula untuk meneruskan inisiatif tersebut atau sebaliknya bergantung kepada situasi semasa tahun depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!