JPNP kesan aktiviti pindah balak guna pas pemindah palsu

Anggota UPK,JPNP Zon Pahang Barat melakukan pemeriksaan ke atas tual balak yang dirampas. - Foto JPNP
Anggota UPK,JPNP Zon Pahang Barat melakukan pemeriksaan ke atas tual balak yang dirampas. - Foto JPNP
A
A
A

RAUB - Unit Penguatkuasaan (UPK) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) zon Pahang Barat mengesan aktiviti memindah 206 tual balak pelbagai spesies menggunakan pas pemindah palsu selepas menyerbu sebuah kilang papan di sini, pada Khamis.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui longgokan kayu yang mencurigakan sebelum membuat pemeriksaan terhadap dokumen hasil hutan berkenaan.

Menurutnya, hasil semakan mendapati pas pemindahan yang ditemui agak mencurigakan disyaki palsu kerana tidak mempunyai ciri khas keselamatan yang ditetapkan oleh JPNP.

"Antara maklumat tercatat pada pas pemindah berkenaan, pemandu lori seorang lelaki berusia 59 beralamat di Kampung Kecau Tui, Lipis dan lori terbabit melalui balai pemeriksaan sementara di Bukit Betong, Lipis.

"Bagaimanapun pemeriksaan terhadap 206 tual balak yang dibawa menggunakan pas pemindah itu tiada tanda tukul hasil dan tukul harta pada permukaan kayu," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Nor Azirim berkata, pihaknya menyita balak terbabit sebelum satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

"Seorang lelaki yang bertindak sebagai ejen menjual balak berkenaan turut ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Beliau berkata, JPNP kini sedang mengesan dalang yang terbabit menghasilkan pas pemindah palsu itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!