Sungai di Pahang, Kelantan, Terengganu lepasi paras bahaya

Tangkap layar peta di portal Info Bencana JKM yang menunjukkan situasi semasa paras sungai di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Tangkap layar peta di portal Info Bencana JKM yang menunjukkan situasi semasa paras sungai di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
A
A
A

SHAH ALAM - Aras sungai di kawasan hulu Pahang dan Kelantan melepasi paras bahaya dengan trend meningkat setakat jam 3 petang Jumaat menyebabkan beberapa penempatan dinaiki air.

Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, stesen aras air Sungai Kechau di Kampung Kechau, Lipis dekat Pahang mencatatkan bacaan 84.18 meter (takat bahaya 82.5 meter).

Tiga stesen di Kuala Tahan, Jerantut pula merekodkan bacaan melepasi paras amaran manakala lapan lagi stesen membabitkan kawasan Kuala Lipis, Maran dan Kuantan pada paras berjaga-jaga.

Di Kelantan, dua stesen di Kampung Jenob, Tanah Merah direkodkan melebihi paras bahaya dengan Kampung Jenob mencatatkan bacaan 28.8 meter manakala Sungai Golok pula berada pada paras 23.58 meter (takat bahaya 23.5 meter).

Tiga lagi stesen di Kelantan iaitu di Sungai Lebir di Kuala Koh, Gua Musang; Sungai Kelantan, Kuala Krai; Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah pula telah melebihi tahap amaran.

Pada masa sama, terdapat tiga stesen yang terletak di Sungai Aring di Jalan Felda Aring, Gua Musang; Kampung Karangan, Kuala Krai dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas berada di para berjaga-jaga.

Sementara itu, terdapat sebuah stesen di Terengganu iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman melebihi paras bahaya dengan mencatatkan bacaan 18.65 meter (takat bahaya 18.5 meter).

Tiga stesen di Sg. Besut di Jambatan Keruak, Besut; Sg. Dungun di Kuala Jengai, Dungun; Sg. Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu mencatatkan bacaan melebihi paras amaran.

Artikel Berkaitan:

Terdapat lima stesen di Terengganu yang merekodkan bacaan melebihi paras berjaga-jaga dengan dua daripadanya terletak Setiu manakala satu stesen masing-masing di Besut, Kemaman dan Dungun.

Berdasarkan portal Info Bencana JKM, setakat jam 4 petang Jumaat, sebanyak lima pusat pemindahan sementara dibuka di Pahang melibatkan 109 mangsa daripada 26 keluarga manakala 10 pusat pemindahan dibuka di Kelantan melibatkan 607 mangsa daripada 125 keluarga.

Tiga pusat pemindahan sementara pula dibuka di Terengganu setakat 1.30 petang Jumaat melibatkan 60 mangsa daripada 14 keluarga.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!