Bau tolak tepi demi pemandangan indah
SUNGAI PETANI - Bau busuk tidak menghalang orang ramai untuk bergambar di sebuah kolam takungan dekat Taman Ria Jaya di sini, susulan pemandangan di lokasi tersebut yang berubah menjadi cantik dengan bunga-bunga ungu apatah lagi ia tular sejak beberapa hari lalu.
Seorang pengunjung, Azura Azzemin, 49, berkata, dia melupakan seketika bau busuk dari sisa takungan tersebut kerana mahu merakam keindahan pemandangan yang dipenuhi bunga berwarna ungu itu.
"Kecantikan luar biasa dari sebuah kolam takungan bertukar menjadi pemandangan indah, belum pernah saya lihat sebelum ini. Cantik sangat. Saya tak pernah sampai ke sini, tetapi apabila tengok dari gambar yang tular saya teringin hendak ke tempat ini. Bau tolak tepi," katanya yang datang dari Bedong.
Kolam takungan yang terletak berhadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Kiara sebelum ini pernah dibangkitkan berikutan bau kurang enak yang mengganggu penduduk sekitar dan warga sekolah.
Namun lokasi itu tidak semena-mena tular termasuk mendapat perhatian jurugambar perkahwinan yang pernah berkhidmat di luar negara yang turut tidak melepaskan peluang untuk merakam pemandangan cantik tersebut.
Max Zhi Hong, 31, yang berasal dari Taman Wira, Sungai Petani, pulang ke Malaysia sejak pandemik Covid-19 menular.
Dia tidak berfikir panjang lalu terus merakamkan momen tersebut setelah ditawarkan rakannya menjadi jurugambar peribadi.
"Landskap atau pemandangan cantik yang dihiasi deretan pokok bunga sering menjadi pilihan pasangan pengantin di luar negara untuk merakamkan potret indah mereka. Pokok bunga seperti ini boleh diperbanyakkan di beberapa kawasan lain di negara kita. Lihat sahaja tempat ini, walaupun terdapat bau busuk tetapi orang tetap akan mai (datang) sebab pemandangan cantik," katanya.
Miki Yeoh, 30, pula berkata, seorang rakan mengajaknya membuat penggambaran di kolam terbabit setelah ia tular susulan terdapat bunga yang tumbuh di lokasi itu dan kehadiran bangau serta burung.
"Situasi tersebut menjadikan kolam takungan ini cukup istimewa. Saya sudah biasa bawa dua orang anak untuk melakukan penggambaran di mana-mana tempat menarik. Apabila kawan ajak, saya bawa mereka ke sini sebab pemandangannya cantik," katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi tersebut mendapati, terdapat pengunjung terdiri daripada pelbagai peringkat dan latar belakang singgah bagi merakamkan gambar kenangan biarpun bau di tempat itu agak kurang menyenangkan.
Bagaimanapun, di satu sudut berdekatan kunci air telah dipasang pita amaran oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) yang melarang pengunjung mendekati kawasan terbabit sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!