Selangor lanjut tempoh lesen sementara peniaga kecil

Tempoh lesen sementara peniaga kecil di Selangor yang sepatutnya tamat bulan ini dilanjutkan sehingga Jun tahun hadapan. Gambar kecil: Ng Sze Han
Tempoh lesen sementara peniaga kecil di Selangor yang sepatutnya tamat bulan ini dilanjutkan sehingga Jun tahun hadapan. Gambar kecil: Ng Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melanjutkan tempoh pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil di negeri berkenaan sehingga Jun tahun depan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, inisiatif itu berakhir bulan ini namun diteruskan untuk membantu peniaga kecil terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Semoga langkah diambil kerajaan negeri ini memberi kelegaan buat peniaga kecil kita,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan pembukaan Medan Selera Pekan Bestari Jaya di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Sze Han berkata, langkah itu membuktikan kerajaan Selangor memahami kesukaran dihadapi golongan yang berniaga secara kecil-kecilan bagi meneruskan kehidupan.

Menurutnya, di Selangor, ada hampir 200,000 peniaga kecil dan sederhana.

“Oleh itu, tahun lalu kerajaan negeri setuju agar lesen sementara diberikan kepada rakyat yang mahu berniaga dan menjaja di kawasan awam dengan syarat tidak mendatangkan kacau ganggu,” katanya.

Pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil dan sederhana yang tidak berlesen itu bermula sejak Ogos tahun lalu dengan dimulakan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan itu akan memastikan tapak niaga yang dimohon adalah bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!