Peguam tidak bantah waran tangkap terhadap Long Tiger
MUAR - Peguam kepada Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, tidak membantah wang ikat jamin dirampas dan waran tangkap dikeluarkan terhadap lelaki berketurunan Rohingya itu yang melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, pada Rabu.
Peguam kepada Long Tiger, Datuk Shaharudin Ali berkata, perbuatan melarikan diri daripada tahanan yang sah adalah satu kesalahan jenayah dan pihaknya tidak menafikan perkara itu.
"Berita tentang anak guam kami melarikan diri dari lokap mahkamah Majistret Tangkak telah menular luas.
"Kejadian ini memeranjatkan kami kerana pada sebelah pagi, kes terhadap Long Tiger telah dipanggil oleh Majistret di dalam kamar," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Pada Rabu, Long Tiger diburu polis selepas berjaya melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak dengan meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada jam 11.55 pagi sebelum perbicaraannya bermula.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat sebelum ini dilaporkan berkata, empat anggota polis yang bertanggungjawab mengiringi suspek ke mahkamah juga disiasat di bawah Seksyen 233 kerana kecuaian.
Beliau berkata, pada jam 10 pagi Rabu dalam kamar Majistret, pihak pendakwa memaklumkan bahawa dua saksi kes tidak dapat hadir kerana anak seorang daripada mereka sakit dan perlu mendapatkan rawatan.
Katanya, semua pihak setuju sambung bicara kes itu dimulakan pada jam 2.30 petang hari yang sama untuk membolehkan kedua-dua saksi pendakwaan tersebut hadir ke mahkamah.
"Namun semasa peguam makan tengah hari di bandar Muar, kami dikejutkan dengan berita Long Tiger lari keluar dari lokap mahkamah. Kami juga dimaklumkan kes ditunda keesokan harinya.
"Kami dimaklumkan mahkamah akan mendengar kes ini keesokan harinya. Pada jam 10, Khamis, para peguam Long Tiger hadir sekali lagi di mahkamah Majistret Tangkak dan memaklumkan pembelaan sedia untuk meneruskan kes walaupun tertuduh tidak hadir," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Long Tiger lolos dari lokap mahkamah
Menurutnya, Long Tiger mendakwa menerima ancaman bunuh dan cubaan mencederakan dirinya semasa ditahan di penjara dan satu laporan polis berkenaan ancaman berkenaan sudah dibuat baru-baru ini.
Bagaimanapun pihaknya tidak pasti sama ada Long Tiger melarikan diri mempunyai kaitan dengan perkara tersebut atau tidak.
"Cubaan mencederakan Hamim semasa dalam tahanan bukan perkara baru kepada kami dan semuanya telah dirakamkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Muar.
"Akibat daripada dakwaan ini, untuk keselamatan tertuduh, hakim meminta Hamim dipindahkan ke penjara lain namun setakat ini, tidak tahu perkembangan siasatan laporan polis yang dibuat bagi pihak Hamim," katanya.
Beliau khuatir dan tidak tahu sama ada Long Tiger melarikan diri atas sebab yang berkaitan dengan keadaan mentalnya akibat serangan fizikal dan mental ke atasnya semasa dalam tahanan reman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!