MPN garis tiga syor tangani masalah semasa negara

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang diadakan pada Jumaat menggariskan tiga syor bagi menangani beberapa isu dihadapi oleh negara pada ketika ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, syor itu adalah bagi perkara berkaitan strategi pemberian dos penggalak vaksin Covid-19, pembiayaan dan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kekurangan tenaga kerja.

Bagi pemberian dos penggalak, Muhyiddin berkata, MPN menyarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memperkasakan kempen kesedaran ujian saringan Covid-19 kendiri dan pengambilan suntikan dos penggalak sebagai langkah berwaspada dalam penularan virus Covid-19.

"Majlis juga berpendapat perlunya langkah proaktif dan lebih ketat dalam mengambil kira kemungkinan ancaman varian Omicron dengan terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Ini penting dalam mengimbangi kepentingan kesihatan awam dan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Muhyiddin memaklumkan mesyuarat pada petang itu turut disertai taklimat daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mesyuarat bermula dengan taklimat daripada Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Jawatankuasa Tindakan Khas PKS di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, setelah meneliti cadangan-cadangan oleh Jawatankuasa Tindakan Khas PKS, MPN secara dasarnya bersetuju supaya pembiayaan yang diberikan kepada sektor tersebut melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dapat disusuli dengan tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, MPN turut berpandangan cadangan bantuan kepada sektor PKS perlu lebih bersasar dengan memberi keutamaan kepada sektor-sektor yang kritikal.

Mengulas mengenai isu kekurangan tenaga kerja yang sering berbangkit, Muhyiddin berkata, MPN mengesyorkan agar pengambilan tenaga pekerja asing juga perlu diperluaskan kepada sektor ekonomi selain peladangan untuk memastikan sektor-sektor ekonomi yang telah dibuka semula ini dapat beroperasi dengan kapasiti prapandemik.

"Dalam hal ini, pelaksanaannya perlu juga disegerakan dan terselaras agar tidak timbul kesulitan kepada pihak industri yang sedang dalam proses pemulihan.

"Namun, Majlis menyarankan agar Jawatankuasa Tindakan Khas PKS mencari penyelesaian untuk mengurangkan kebergantungan tenaga kerja asing dalam jangka masa panjang," ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, MPN optimis bahawa momentum positif pemulihan yang ditunjukkan oleh negara pada ketika ini akan berterusan selepas memasuki tahun 2022.

Katanya, proses pemulihan negara perlu diperkukuhkan dengan memastikan semua dasar dan inisiatif pemulihan yang telah diumumkan di bawah Bajet 2022 dilaksanakan pada kadar segera, terselaras, cekap serta berkesan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!